Update [BERA] SIAP 20 HARI LEBIH AWAL >> Berita Malay 18


Siap 20 hari lebih awal



Rakyat Bera khususnya warga Felda Gugusan Bera kini boleh menarik nafas lega apabila jalan FT1510 sepanjang tujuh kilometer yang dinaik taraf siap sepenuhnya.

Jurutera Daerah, Jabatan Kerja Raya (JKR) Daerah, Ahmad Fathulah Ahmad Halimi berkata, kerja-kerja naik taraf bagi Fasa 2 itu menelan belanja sebanyak RM19 juta dengan beberapa skop kerja yang dilaksanakan.

“Antaranya seperti melebarkan jalan dan menaik taraf empat persimpangan utama; pembinaan sistem saliran longkang tanah dan konkrit serta pembetung dan menurap semula permukaan jalan serta membaiki cerun.

“Ini juga termasuk kerja-kerja pengalihan utiliti paip air dan kabel elektrik di bawah tanah,” katanya kepada Sinar Harian.

Kelmarin, Majlis Serahan Projek Naik taraf Jalan FT1510 Kawasan Parlimen Bera (Fasa 2) dilaksanakan antara pihak kontraktor kepada pihak Kementerian Kerja Raya yang disaksikan Ahli Parlimen Bera, Dato' Sri Ismail Sabri Yaakob.

Hadir sama, Ketua Penolong Setiausaha Bahagian Pembangunan dan Penswastaan, Zurifah Zuhairon; Pengarah JKR Pahang, Dato' Ir Abdul Jalil Mohamed dan Adun Guai, Dato' Sri Norol Azali Sulaiman.

Projek Fasa 2 ini yang bermula pada Januari 2016 berjaya disiapkan 20 hari lebih awal dari tarikh yang ditetapkan pada Disember 2017.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata, usaha kerajaan untuk terus memberikan kemudahan kepada rakyat tidak pernah berhenti, malah ia diberikan secara berterusan terutamanya di kawasan luar bandar.

Katanya, masyarakat luar bandar juga berhak menikmati kemudahan sebagaimana yang dinikmati masyarakat di bandar, dan ini amat signifikan dengan visi Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) untuk Membandarkan Luar Bandar.

“Ini jalan utama warga Felda di sini, dan sememangnya laluan ini harus dinaiktarafkan agar perjalanan mereka lebih selesa terutamanya pada waktu malam.

“Difahamkan, bukan saja jalan semakin lebar malah terdapat lampu jalan terutamanya di setiap empat persimpangan utama laluan ini.

“Jadi, saya percaya, pengguna lebih selamat melalui jalan ini yang diterangi lampu dan sekali gus dapat mengelak kehadiran ternakan yang dibiarkan bebas oleh pengusaha,” katanya.


Subscribe to receive free email updates: