Dalam kejadian kira-kira pukul 10.30 pagi itu, beberapa orang kampung berjaya mencekup kedua-dua individu itu yang tidak menyedari pergerakan mereka memanjat pokok kelapa setinggi lima meter diperhatikan seorang pemilik kedai runcit berhampiran sekolah berkenaan.
Bekas ketua kampung, Mohd Yaacob Hashim, 65, berkata sebaik menerima maklumat, beliau bersama 10 penduduk lain bergegas ke lokasi dan mendapati seorang daripada suspek sudah berada di dalam kereta Proton Wira manakala seorang lagi mahu ke kedai berhampiran.
“Di dalam kereta itu terdapat beberapa tandan buah kelapa dan saya tidak pasti buah itu diambil di kampung ini sendiri atau tempat lain.
“Mereka mengaku mengambil kelapa itu dan sebaik kami terus menangkap dan mengikat kedua-duanya pada pokok kelapa menggunakan tali yang mereka guna untuk menurunkan kelapa dari pokok,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Mohd Yaacob berkata tujuan mengikat kedua-dua suspek masing-masing berumur belasan tahun dan awal 30-an adalah untuk memberi pengajaran kepada mereka.
“Kami ikat dua lelaki itu sementara menunggu polis tiba dan tidak memukul atau mencederakan mereka kerana mahu pihak polis yang mengambil tindakan.
“Siapa sangka di bulan mulia ini masih ada individu yang melakukan aktiviti tidak bermoral ini,” katanya.
Mohd Yaacob berkata kedua-dua suspek bagaimanapun merayu untuk dilepaskan sambil mengaku ia pertama kali dilakukan, namun semuanya terlambat dan kejadian tersebut perlu dijadikan pengajaran kepada individu lain.
Kejadian tersebut turut menjadi tular di media sosial termasuk Facebook.