Update 50 Ekor Terjual Dalam Sejam, ‘Ayam Bakar Pasu Tekup’ Cetus Fenomena Di Kelantan >> Berita Malay 18

Kota Bharu - Dalam masa sejam, 50 ekor ayamnya habis terjual. Itu penangan ayam pasu tekup yang diusahakan Tajuddin Mat Isa, 50, sempena Ramadan ini.

Dia yang berniaga di Jalan Maktab, Pengkalan Chepa, di sini, memberitahu ayam yang dibakar di dalam pasu yang ditekup mendapat sambutan penduduk setempat kerana aroma dan kelainan rasanya berbanding ayam lain.

"Awalnya saya bakar 50 ekor sahaja sebab hendak tengok sama ada dapat sambutan atau tidak. Tak sangka betul, dalam tempoh sejam, semua 50 ekor habis ditempah pelanggan.


"Inilah percubaan pertama saya jual ayam pasu tekup. Sebelum ini saya memang menjual ayam mentah untuk bekalan penduduk setempat," katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Berikutan sambutan menggalakkan itu, Tajuddin menambah jualan ayam bakar istimewanya kepada 100 ekor pada Ahad lalu dan 150 ekor, kelmarin.

Katanya, dia tidak menolak kemungkinan pasu seramik yang digunakan menarik minat orang ramai untuk singgah di gerai jualannya dan melihat sendiri ayam dibakar.

"Lagipun sebelum ini di Kelantan belum ada lagi ayam bakar di dalam pasu. Kebanyakannya di dalam tempayan atau tong.

"Inspirasi menjual ayam sebegini diperoleh dari Melaka yang sudah terkenal dengan ayam pasu selain Negeri Sembilan. Kami cuba tawarkan di Kelantan untuk citarasa baharu orang kita," katanya yang dibantu menantu, Mohd Shamsuddin Zakaria, 34, dan dua pekerja.


Menurutnya, pasu yang digunakan juga ditempah khas dari Melaka kerana buatannya halus dan tahan lasak serta mudah panas.

Selain menjual ayam pasu tekup, dia juga menjual pelbagai jenis air buah-buahan namun mengakui sambutan diterima tidak semeriah ayam terbabit.

Subscribe to receive free email updates: