Update Amanah ingin lihat keluarga Najib bangkit bantah skandal 1MDB >> Berita Malay 18

KELUARGA besar Najib Razak diminta mencontohi keberanian adik-beradik perdana menteri Singapura yang berani bertindak menyatakan kebenaran walaupun melibatkan keluarga sendiri.
"Saya kagum dengan keberanian adik-beradik perdana menteri Singapura yang berani bercakap tentang kesilapan abang mereka yang memerintah negara sekarang.
"Saya terbayang, alangkah baiknya kalau adik-beradik Najib yang semuanya hebat juga berani membuat teguran sama terhadap skandal 1MDB yang sedang melanda negara sekarang ini," kata Timbalan Presiden Amanah, Salahuddin Ayub.
Misalnya respons adik Najib, Mohd Nazir, dalam menyatakan pandangan dan sikapnya dengan apa yang berlaku.
Ini kerana, ketika meraikan majlis memperingati kematian bapa mereka, Abdul Razak Husein yang ke-38 pada 2014 lalu, Nazir pernah membandingkan sikap Najib dan isteri dengan bapa mereka.
"Saya berharap sangat jika Nazir bangun sekali lagi menyatakan sikap beliau selepas tindakan Jabatan Kehakiman (DoJ) Amerika menyenaraikan barangan kemas yang dikatakan dibeli menggunakan duit 1MDB untuk isteri MO1," kata Salahuddin.
Menurut Salahudin, portal Asia Sentinel juga pernah menyiarkan berita yang empat adik Najib tidak senang dengan gaya hidup mewah isterinya, Rosmah Mansor.
Kata beliau, ini kerana ia mungkin membolehkan aparatus negara termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM), Polis dan Jabatan Peguam Negara menjadi lebih berani dan menjalankan tugas berdasarkan undang-undang negara.
Pergaduhan keluarga perdana menteri Singapura menjadi terbuka minggu ini apabila Hsien Yang dan Wei Ling mendedahkan kenyataan enam halaman mengecam abang mereka menyalahgunakan kuasa untuk mengekalkan rumah keluarga di 38, Oxley Road walaupun hasrat mendiang bapa mereka untuk merobohkannya selepas kematiannya.
Hsien Yang berkata beliau akan meninggalkan Singapura kerana tindakan Hsien Loong sementara Wei Ling kini berada di luar negara.
Hsien Loong menafikan dakwaan itu dan mengeluarkan kenyataan 40 perenggan untuk membalas kenyataan mereka.
Pertengkaran terbuka itu menjadi berita utama di republik itu, apatah lagi Singapura biasanya negara yang tenang dan ditadbir dengan baik di mana isu keluarga amat jarang dibangkitkan secara terbuka.

Subscribe to receive free email updates:

Related Posts :