Update AMBIL TINDAKAN TEGAS KE ATAS SIVARASA >> Berita Malay 18


Ismail Sabri Yaakob


Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berpendapat tindakan tegas perlu diambil terhadap Ahli Parlimen Subang, R Sivarasa yang telah berucap dalam dewan solat Masjid An-Nur, Kampung Melayu Subang, Selangor baru-baru ini.

Beliau berkata, perbuatan itu jelas menunjukkan pemimpin parti PKR itu tidak menghormati kesucian agama Islam dan menjadikannya sebagai alat untuk berpolitik.

"Dahulu pun pernah terjadi ahli politik PKR dan DAP yang bukan beragama Islam masuk dalam masjid beri ceramah dan sudahpun diberi amaran namun berulang lagi.

"Nampaknya mereka bukan sahaja tidak pedulikan titah (Sultan Selangor), tetapi tindak tanduk itu nampaknya seperti turut memperkecilkan agama kita. Macam mana boleh masuk sampai tempat sembahyang, kalau di luar di bawah khemah tidak mengapalah," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan kepada 136 golongan asnaf di Masjid Darul Fikri di sini, hari ini.

Tindakan itu telah mendatangkan kemurkaan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah baru-baru ini yang sebelum ini telah beberapa kali mengingatkan agar masjid dan surau tidak dijadikan tempat berpolitik sama ada oleh orang Islam dan bukan Islam.

"Jadi saya berharap tindakan tegas perlu diambil sebagai pengajaran kepada yang lain sebab amaran telahpun beberapa kali diberikan.

"Dia tidak boleh beri alasan lama atau sekejap berada di dalam masjid. Soalnya sekarang kenapa sampai ke mimbar untuk berucap," kata Ismail Sabri yang merupakan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah.

Sementara itu di JOHOR BAHRU, Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, hanya penceramah beragama Islam dan bertauliah sahaja dibenarkan memberi ceramah di dalam masjid dan surau di Johor.

"Kalau masuk masjid bagi tujuan nak ceramah (selain daripada agama) memanglah tak sesuai sebab dalam masjid dan surau, ceramah mestilah ceramah agama, mesti ada tauliah. Di situ sahaja (tindakan Sivarasa) tidak menepati dan tak betul," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita apabila diminta mengulas isu itu selepas menyampaikan sumbangan Ramadan kepada 470 penerima terdiri dari penerima bantuan Yayasan Pasir Gudang dan Tabung Haji di Dewan Taman Cendana, Pasir Gudang, di sini hari ini.

Mohamed Khaled berkata belum ada kes melibatkan mereka yang bukan beragama Islam memberi ceramah di dalam masjid dan surau di negeri itu.


Subscribe to receive free email updates: