Update Anwar mahu siasatan dakwaan Shafee terima wang Najib >> Berita Malay 18

Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim yang kini meringkuk di penjara mahu Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, - peguam kanan yang mengetuai pihak pendakwaan dalam kes liwatnya, disiasat.
Ini selepas timbul dakwaan bahawa Shafee menerima RM9.5 juta daripada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak melalui dua bayaran iatu pada 11 September, 2013 dan 17 Februari, 2014.
“Dakwaan yang dibuat Sarawak Report bahawa dana berjumlah RM 9.5 juta dari syarikat SRC International telah disalur Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dari akaun peribadi beliau ke dalam akaun peribadi peguam Umno Tan Sri Shafee Abdullah amatlah berat.
“Perkara ini perlu disiasat pihak berkuasa pada kadar segera.
“Apakah tujuan dana besar ini disalur oleh Najib kepada akaun peribadi seorang peguam swasta yang dilantik oleh kerajaan Najib untuk mengendalikan pendakwaan terhadap saya?” soal Anwar dalam satu kenyataan yang dikeluarkan melalui PKR.
Anwar, dalam nota berkenaan turut mempersoalkan siapa lagi yang turut menerima duit dari SRC International melalui akaun peribadi Najib.
Putrajaya, dalam satu keputusan yang mengejutkan pada 22 Julai 2013, melantik Shafee untuk mengetuai pasukan pendakwaan terhadap Anwar di Mahkamah Rayuan dan bukannya berdasarkan amalan konvensional yang bergantung kepada khidmat pendakwa raya.
Mahkamah Rayuan pada 7 Mac 2014, membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang membebaskan Anwar dan menjatuhkan hukuman lima tahun penjara ke atas bekas timbalan perdana menteri itu.
Mahkamah Persekutuan pada 10 Feb, 2015 mengekalkan keputusan bersalah atas tuduhan meliwat bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan.
Malaysiakini, yang tidak menyiarkan nama Shafee, dalam laporan Sarawak Report itu semalam, telah cuba menghubunginya untuk mendapatkan ulasannya melalui pelbagai saluran tetapi tidak berjaya.
Read More / Baca Lagi >>

Subscribe to receive free email updates: