Azam tersebut telah dicatatkan Muhammad Hakimi Muhammad Dahalan, 17, pukul 9.55 malam, 24 Mei lalu.
Muhammad Hakimi, terkorban dalam kemalangan di KM 55 Jalan Kuala Krai-Kota Bharu, pagi Jumaat, bersama enam pelajar lain.
"Mati di bulan Ramadan dengan keredaan-Nya," demikian tulis Muhammad Hakimi dalam sekeping kertas.
Ia menjadi azamnya yang ke-10 dan terakhir ditulis olehnya, bersama sembilan azam lain.
Difahamkan, setiap pelajar tahfiz di pusat tahfiz berkenaan perlu menyatakan azam masing-masing sebelum ketibaan Ramadan dengan menulisnya di atas kertas yang disediakan.
Antara azam lain yang ditulis olehnya adalah selalu berdoa kebaikan ke atas umat Islam, khatam al-Quran, Qiamullail, menginfaqkan harta dan lain (sekadar mampu) dan bercakap perkara penting sahaja.
Allahyarham turut berazam untuk menahan diri daripada berkeluh-kesah dan membuang keegoan diri.