FGV: Dua-dua perlu letak jawatan
Dr Mohd Puad Zarkashi
SHAH ALAM – Pengerusi Felda Global Holding Berhad (FGV) Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad dan Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif FGV Datuk Zakaria Arshad perlu meletak jawatan, demikian saranan Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi.
Beliau berkata, peletakan jawatan itu akan dapat mengelakkan ‘trust deficit’ yang boleh mengakibatkan harga saham FGV jatuh menjunam.
“Semoga Pengerusi Felda Tan Seri Shahrir Samad tidak terlalu lama berdiam diri. Mereka berdua juga tidak perlulah menunggu campur tangan perdana menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak.
“Sewajarnya kedua-dua mereka meletak jawatan secara sukarela. Ambil jalan yang lebih bermaruah. Ambil jalan mengalah. Letak jawatan segera,” ujarnya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, pertelingkahan yang menjadi peperangan terbuka itu amat mendukacitakan.
“Ini episod memalukan kerana amat ketara sekali tidak ada musyawarah sesama mereka. Mana mungkin mereka boleh bekerjasama selepas ini.
“Mereka berdua perlu dipisahkan. Biar mereka berada di tempat baru tetapi berlainan,” katanya.
Beliau menambah, jawatan tertinggi itu perlu diberikan kepada muka dan tenaga baru untuk meneruskan usaha agar FGV menguntungkan pemegang saham terutamanya para peneroka.
“Sampai masanya dikaji semula bidang kuasa seseorang Pengerusi, Ketua Pegawai Eksekutif, termasuk siapa yang berkuasa melantik Ahli Lembaga Pengarah agar institusi berkaitan bukan menjadi medan kepentingan peribadi.
“Adakalanya kita mendengar seseorang Pengerusi menjadi Pengerusi pula kepada beberapa anak syarikat lain. Kalau satu dua tidak mengapa. Terdapat dakwaan, kebanyakan anak-anak syarikat Pengerusinya adalah orang yang sama,” jelasnya.
[ARTIKEL BERKAITAN: Siasatan ke atas CEO FGV libatkan jutaan ringgit]
Terdahulu, FGV memaklumkan kepada Bursa Malaysia, Zakaria akan bercuti sementara menunggu hasil siasatan pelbagai urus niaga yang dijalankan oleh anak syarikatnya, Delima Oil Products Sdn Bhd.
Siasatan SPRM ke atas Zakaria melibatkan jutaan ringgit.
Dalam pada itu, Zakaria memerusi akaun tweeeternya berkata, arahan seumpama itu tidak pernah berlaku dalam organisasi Felda.