Pas mahu Felda buang Isa: Tuan Ibrahim
Tuan Ibrahim Tuan Man
SHAH ALAM - Pas mahu Pengerusi Felda Global Venture Holdings Berhad (FGV), Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad dibuang daripada Felda dan mencadangkan jawatan itu dipangku oleh Pengerusi Felda, Tan Sri Shahrir Abdul Samad.
Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, mengekalkan Mohd Isa di FGV akan menyebabkan Shahrir sukar melaksanakan langkah-langkah memulihkan Felda.
"Ketika rombakan Felda dibuat pada Januari 2017, Pas tidak bersetuju dengan tindakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengekalkan Mohd Isa sebagai Pengerusi FGV.
"Pas meramalkan Shahrir dan Mohd Isa bakal bertembung, dan ini satu persaingan politik yang tidak perlu di dalam Felda yang bakal merugikan Felda dan khasnya peneroka.
Sepatutnya Mohd Isa perlu dibuang terus daripada Felda," katanya dalam satu kenyataan, semalam.
Tuan Ibrahim mendakwa, banyak masalah Felda hari ini kebanyakannya datang daripada kelemahan FGV dan pengurusan Mohd Isa.
"Terbukti keputusan menyenaraikan FGV dan melantik Mohd Isa menerajui Felda adalah dua kesilapan besar PM yang bakal diingati peneroka sampai bila-bila.
"Pas cadang agar Shahrir dilantik menjadi pemangku pengerusi FGV," katanya.