Update Kes Dera: Bapa Tiri Direman 7 Hari >> Berita Malay 18

Besut - Bapa tiri kepada kanak-kanak lelaki berusia lima tahun yang meninggal dunia dipercayai akibat didera, ditahan reman selama tujuh hari bermula hari ini.

Perintah itu dikeluarkan Majistret Tuan Ruzuaini Tuan Lah di Mahkamah Majistret Besut di sini selepas suspek yang berusia 38 tahun itu ditahan polis bagi membantu siasatan.


Terdahulu, suspek tiba pada pukul 9.15 pagi di pekarangan mahkamah di sini.


Lelaki yang bekerja sebagai buruh itu tiba dengan berpakaian lokap , dan tangan bergari.


Siasatan lanjut dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.


Dalam kejadian awal pagi kelmarin, Muhammad Hairil Amsyar Abdul Rahman dari Felda Tenang di sini disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Unit Kecemasan Hospital Daerah Besut kira-kira pukul 3.30 pagi.


Hasil pemeriksaan pakar perubatan mendapati punca kematian kanak-kanak terbabit tidak konsisten dengan keterangan yang dibuat oleh suspek bahawa mereka terjatuh daripada motosikal.


Difahamkan, keputusan bedah siasat yang dilakukan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu semalam menunjukkan kematian mangsa berpunca daripada hentakan kuat yang menyebabkan koyakan pada usus kecilnya.


Mayat Muhammad Hairil Amsyar yang dibawa pulang dari HSNZ telah dikebumikan di tanah perkuburan Kampung Bukit Tanah Besut petang semalam.

Subscribe to receive free email updates: