PKR desak siasat akaun Shafee
Laporan muka depan Sinar Harian, semalam.
SHAH ALAM - PKR Selangor menggesa satu siasatan segera dilaksanakan bagi menyiasat dakwaan bayaran sejumlah wang sebanyak RM9.5 juta daripada akaun peribadi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ke akaun peguam, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah.
Ketua penerangannya, Shuhaimi Shafiei berkata, situasi ini menimbulkan keraguan dan konflik kepentingan tatkala waktu penyaluran wang tersebut berlaku sekitar waktu kes pembunuhan Pengasas AmBank, Hussein Ahmad Najadi dan juga pendakwaan kes Datuk Seri Anwar Ibrahim seperti didakwa Sarawak Report.
"Perdana menteri perlu menjelaskan hubungan istimewa antara beliau dan Shafee Abdullah yang menyebabkan penyaluran RM9.5 juta jika berlaku seperti dilaporkan.
"PDRM dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) boleh menyiasat kes ini berdasarkan Seksyen 405 Kanun Keseksaan yang mungkin melibatkan situasi pecah amanah termasuk yang berkaitan dengan skandal 1MDB dan SRC International," katanya menerusi kenyataan.
Shuhaimi yang juga Adun Sri Muda berkata, siasatan juga boleh dijalankan di bawah Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009 kerana penyalahgunaan dana awam sekiranya aliran kewangan seperti didakwa berkaitan dengan wang 1MDB.
"Saya menegaskan agar tindakan siasatan secara bebas dan adil dapat dijalankan segera bagi memastikan isu yang melibatkan dakwaan terhadap salah laku perdana menteri ini dapat dibawa ke muka pengadilan dengan sewajarnya," katanya.
Kelmarin, AMK Pusat dan AMK Selangor membuat laporan polis untuk mendesak siasatan segera dilakukan terhadap dakwaan skandal terbaharu yang didedahkan Sarawak Report itu.
Malah, Pas turut menggesa SPRM, Bank Negara dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) campur tangan skandal membabitkan transaksi dana RM9.5 juta dari syarikat SRC International yang disalur ke akaun Shafee.