“Saya bukan tak mahu bekerja, tapi tiada siapa yang boleh menjaga anak saya yang berusia empat bulan ni,” luah ibu tujuh anak, Nur Zalina Mohd Fauzi, 35.
Menurutnya, kehidupan mereka sekeluarga menjadi sukar sejak Januari lalu.
Katanya, keperluan anaknya-anak sentiasa tidak mencukupi terutamanya bayinya.
“Hanya ALLAH saja tau kerunsingan saya terhadap anak-anak. Kalau boleh saya nak kerja, nak cari duit sendiri sara anak.
“Tapi apakan daya anak saya ini masih kecil usianya baru empat bulan, perlukan jagaan. Jika saya kerja, siapa nak jaga anak-anak saya, nak bayar pengasuh lagi tu pun saya tak mampu,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Air Putih di sini, semalam.
Nur Zalina berkata, dia kini hanya mengharapkan simpati orang ramai dan bersyukur ibu mertuanya sanggup membantunya meskipun hidup serba kekurangan.
Katanya, hatinya bertambah runsing apabila anak-anaknya terputus bekalan seperti makanan, susu tepung dan lampin pakai buang namun begitu dia terpaksa reda dengan ujian menimpanya itu.
Wanita itu berkata, dia pernah meminta wang daripada rakannya untuk membeli susu dan lampin pakai buang anaknya.
“Saya terpaksa tebalkan muka untuk memastikan anak saya dapat susu tapi Alhamdulillah, dia (rakan) datang menyalurkan bantuan. Saya tak pernah minta banyak, asalkan anak saya ini ada makanan itu sudah memadai.
“Sebolehnya saya mahu elak nak selalu bergantung pada orang, tapi apakan daya saya tiada pilihan lain,” katanya.
Di sebalik kesempitan hidup yang dilaluinya, ibu mertuanya, yang bekerja di kedai makan selalu membantu dengan membeli barangan keperluan anaknya.
Menurutnya, bagaimanapun dia tidak boleh mengharapkan ibu mertuanya 100 peratus kerana banyak tanggungjawab lain yang perlu ditanggungnya.
“Ibu kena bayar sewa rumah RM200 sebulan. Pendapatan ibu kira-kira RM45 sehari. Daripada gaji itu ibu saya terpaksa menyimpan kalau tak kami sekeluarga boleh dihalau dari rumah ini,” katanya.