Update Martabat umat Melayu menurut Hamka >> Berita Malay 18

Oleh:SIDDIQ FADZIL

HAMKA adalah putera besar Alam Melayu yang tampil pada saat umat mengalami kegawatan menangani pelbagai persoalan berat yang diakibatkan oleh penjajahan dan proses pembaratan. Sebagai ilmuwan, pemikir Hamka memberikan perhatian yang serius terhadap isu kemelayuan dan keislaman dalam konteks permasalahan tersebut.
Menyelami jiwa dan minda Hamka menerusi karya-karya tulisannya, kita dapat menemukan kesegaran roh keislamannya dan kekentalan semangat kemelayuannya. Kedua-dua unsur tersebut menyatu secara harmonis membentuk wataknya. Dengan ungkapan lain, Melayu Hamka adalah kemelayuan yang telah menyerap roh keislaman sepenuhnya.
Dalam menerima hakikat persempadanan politik yang memecahkan kepulauan Melayu kepada negara Indonesia dan Tanah Melayu (Malaysia), namun sebagai seorang yang mempunyai kesedaran sejarah dan budaya, serta semangat ukhuwah yang mendalam, Hamka tetap tidak dapat melepaskan dirinya daripada ikatan kemelayuan yang serumpun seagama, serantau sebudaya.
Sebagai seorang Melayu, Hamka mencintai seluruh bumi Melayu tanpa membezakan antara yang bernama Sumatera atau yang bernama Tanah Melayu.
Demikian mendalamnya cinta Hamka terhadap umat dan bumi Melayu sehingga ketika Tanah Melayu mencapai kemerdekaannya pada tahun 1957, beliau ikut menyambutnya dengan penuh rasa terharu.
Untuk memahami kepeloporan Hamka dalam perjuangan Melayu, kita perlu pula memahami definisinya tentang orang Melayu, Hamka tidak menanggapi Melayu dalam pengertian sempit etnik yang dicirikan oleh darah dan daerah. Menurutnya, sudah tidak ada lagi orang yang benar-benar berdarah Melayu murni. Untuk mendefinisikan Melayu, beliau mengambil kriteria yang digunakan oleh Rasulullah s.a.w ketika mendefinisikan Arab iaitu siapa sahaja yang berbahasa Arab. Demikian pulalah Hamka mentakrifkan Melayu, iaitu setiap orang yang berbahasa Melayu - berfikir, merasa, menangis dan ketawa, tidur dan bangun dalam bahasa Melayu. Pentakrifan bangsa berasaskan bahasa bertepatan pula dengan pepatah Melayu ``bahasa menunjukkan bangsa''. Memang bahasa adalah cerminan jiwa dan pancaran budi. Kerana itu terdapat pula ungkapan ``bahasa jiwa bangsa'' di samping rangkaian kata ``budi bahasa''.
Selain mencirikan bangsa, bahasa Melayu juga memainkan peranan utama sebagai pemersatu rumpun Melayu yang terpisah-pisah dalam ribuan pulau dan ratusan dialek bahasa.
Bahasa yang mampu menjadi wahana perpaduan itu menurut Hamka harus bahasa yang murni, iaitu bahasa Melayu yang tidak terlalu banyak menyerap kalimat-kalimat Jawa, Sanskrit atau yang selainnya. Meskipun namanya sudah menjadi bahasa Indonesia, tetapi pada hakikatnya ia adalah bahasa Melayu.
Bertolak daripada hakikat itulah Hamka memperjuangkan bahasa Melayu dan memelihara kemurniannya dengan penuh rasa cemburu. Bukan beliau tidak menyedari bahawa bahasa harus dinamik, maju dan berkembang, dan untuk itu ia harus bersedia meminjam dan menyerap kata-kata asing seperlunya. Yang beliau tentang ialah keinginan untuk mencabut bahasa Indonesia dari akarnya iaitu bahasa Melayu.
Sementara itu berlaku pula proses peminggiran tulisan jawi akibat himpitan tulisan rumi. Ini terjadi di Indonesia dan kemudian diikuti oleh Malaysia. Penggantian jawi dengan rumi adalah sebahagian daripada proses pembaratan dan pendangkalan Islam yang tentu sahaja didalangi oleh penjajah. Dalam konteks Malaysia ini dilakukan menerusi strategi pemberian citra yang segar kepada tulisan rumi sebagai lambang kecerdasan, dan citra sebaliknya untuk tulisan jawi.
Selain bahasa, ciri kemelayuan yang lebih penting lagi ialah Islam. Hamka menyedari adanya kelompok rumpun Melayu yang tidak beragama Islam, namun beliau tetap melihat bahawa nama Melayu memang tidak dapat dipisahkan daripada Islam berasaskan hakikat bahawa kebanyakan orang Melayu adalah Muslim. Keislaman umat Melayu Muslim itulah yang selamanya menjadi tumpuan perhatian dan keprihatinan Hamka. Baginya, Islamlah yang menjadi teras kekuatan mereka dan sekali gus menjadi faktor pemersatu yang mendasari semangat kebangsaan.
Hamka adalah ilmuwan-pemikir Melayu yang menyaksikan gelora kebangkitan umat menentang penjajahan, merebut kemerdekaan dan membangun kemajuan. Hamka jelas ikut terhimbau lalu berusaha menanganinya dalam konteks umat Melayu.
Antara yang diberikan perhatian oleh Hamka ialah masalah jiwa hamba dan pemikiran anak jajahan. Kerana itu dalam menghargai kemerdekaan tanah air, beliau memperingatkan kemerdekaan yang lebih asasi iaitu kemerdekaan jiwa. Kemerdekaan jiwa yang beliau maksudkan ialah kekuatan iman dan budi. Kerana itu kemerdekaan negara harus dimanfaatkan sebagai wahana mengangkat martabat umat.
Dalam rangka memperkasa umat dan membina jiwa merdeka itulah Hamka melihat Islam (ajaran tauhid) sebagai ``sumber tenaga kemerdekaan jiwa yang sebenarnya.'' Bagaimanapun, ada kekesalan yang disuarakan oleh Hamka apabila beliau menyatakan, ``Cuma sayang, kerana kesedaran di dalam menegakkan agamanya tidak tegas dan jelas, kaum Muslimin yang gagah berani itu kebanyakan hanya dipergunakan tenaganya guna membina kekuasaan orang lain. Setelah orang lain berkuasa, kaum Muslimin itu disingkirkan dan dilarang keras atau dihambat-hambat agar jangan sampai menuntut haknya yang suci'' (Hamka, 1971;205).
Read More / Baca Lagi >>

Subscribe to receive free email updates: