Update Perutusan Aidilfitri Presiden KEADILAN >> Berita Malay 18

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh,
Dengan ingatan tulus ikhlas, saudara Anwar dan saya mewakili keluarga, kepimpinan dan keluarga besar KEADILAN mengucapkan Selamat Hari Raya Eidulfitr 1438 Hijrah kepada semua sahabat handai, rakan taulan serta muslimin muslimat sekalian dengan lafaz minal eidil walfaizin wal maqbulin. Kemaafan dipohon andai ada silap dan salah, terlanjur kata mahupun perilaku.
Takbir dan tahmid yang berkumandang di pagi hari menandakan tibanya Eidul Fitri. Eidul Fitri merupakan hari kemenangan buat umat Islam. Sebulan menjalankan ibadah puasa. Menahan lapar dan dahaga. Mengajar kita erti ketabahan dan kesabaran dalam perjuangan.
Ramadhan juga mengajar kita kemenangan tidak diperolehi dengan mudah. Namun, ia akan hadir buat mereka yang beriman, bertaqwa dan isitiqamah. Eidul Fitri adalah hari merayakan kemenangan.
Lafaz minal eidil walfaizin wal maqbulin membawa erti semoga kita tergolong dalam golongan yang kembali kepada fitrah dengan memperolehi kemenangan serta diterima amalan dan segala kebaikan.
Kita harus menginsafi firman Allah S.W.T di dalam Surah At-Tin ayat 4-6. Di mana Allah S.W.T berfirman bahawa DIA-lah yang mengangkat darjat insan dan DIA jugalah yang meletakkan kembali insan di darjat yang hina. Kecuali bagi mereka yang beriman dan beramal soleh, mereka akan beroleh pahala yang tidak putus-putus.
Moga kita adalah golongan yang beroleh kemenangan. Golongan yang beriman dan bertakwa. Golongan yang istiqamah memperjuangkan kebenaran dan menegakkan keadilan.
Kesuraman ekonomi negara tidak mengurangkan kemeriahan hari raya. Hari raya disambut dengan penuh kegembiraan bersama keluarga, sanak-saudara dan handai taulan. Namun, sambutlah kemenangan kita dengan penuh kesederhanaan. Sepertimana kembalinya kepada fitrah.
Dalam kerancakkan pulang ke kampung halaman dan ziarah-menziarahi, haruslah sabar dan cermat di jalanraya serta memandulah dengan berhemah.
Di hari yang mulia ini panjatkan kesyukuran ke hadrat Allah S.W.T. Rayakanlah kemenangan. Pupuk ukhuwwah di antara kita dan eratkanlah silaturrahim.
Salam Eidul Fitri. Taqaballahu minna wa minkum. Kullu am wa antum bi-khair.

DATUK SERI DR. WAN AZIZAH WAN ISMAIL
Ketua Pembangkang Malaysia
Presiden KEADILAN

Subscribe to receive free email updates:

Related Posts :