Seminggu yang lalu, Kabinet memutuskan yang RCI akan dibentuk untuk menyiasat kerugian perdagangan forex BNM dan sejak itu, pemimpin pembangkang dan pergerakan masyarakat sivil mengecam keputusan itu, menyifatkannya sebagai serangan ke atas Dr Mahathir Mohamad yang kini menyertai barisan pembangkang.
Mereka mengatakan yang RCI kepada 1MDB lebih penting berbanding siasatan skandal yang berlaku lebih tiga dekad lepas itu.
Tumpuan kepada 1MDB kembali memuncak baru-baru ini selepas Jabatan Kehakiman Negara Amerika Syarikat (DoJ) memfailkan saman sivil untuk memulakan rampasan aset bernilai AS$540 juta (RM2.3 juta), dipercayai dibeli menggunakan wang yang dirompak daripada 1MDB.
DoJ kini mempunyai tiga saman untuk merampas hartanah, karya seni dan aset kewangan yang didakwa dibeli menggunakan wang rompakan 1MDB.
Mizan Kamaruddin, 22, yang tinggal di Kuala Lumpur berkata 1MDB perlu disiasat terlebih dahulu.
“1MDB lebih baru kan? Bukankah lebih berkesan kalau siasatan itu ditumpukan kepada 1MDB dahulu?” katanya kepada The Malaysian Insight di Times Square, Kuala Lumpur.
Mizan berkata tidak ramai orang mengetahui mengenai skandal forex BNM kerana ia sudah lama berlaku dan lebih baik sekiranya pihak berkuasa menumpukan kepada apa yang mereka tahu terlebih dahulu, berbanding menggali masalah silam.
“Lihat sahaja kesan 1MDB sekarang. Matawang kita (ringgit Malaysia) jatuh mendadak. Semakin banyak ia jatuh, semakin rakyat menderita,” kata Mizan.
Pelajar pengurusan hotel Azwan Ismail, 21, juga bersetuju dengan Mizan.
“Sejak lima tahun lepas, banyak masalah dan laporan tentang 1MDB, jadi saya rasa RCI kena siasatnya dahulu, barulah betul. Siapa yang tahu apa yang akan berlaku 20 tahun akan datang,” katanya ketika ditemui di rumah terbuka Perdana Menteri Najib Razak di Putrajaya.
Azwan percaya yang tidak perlu sebenarnya untuk menubuhkan 1MDB, kerana negara sudah mempunyai institusi pengurusan harta yang mencukupi bagi membantu membangunkan negara.
“Kami juga mahu mahu apa sebenarnya peranan 1MDB? Perlu ada penjelasan. Adakah ada sesuatu yang ingin disembunyikan dalam masalah ini?” katanya.
Figo Chin Wen Hui, 24, pula berkata generasinya tidak mengetahui secara mendalam tentang skandal forex BNM sehinggalah ia diperkatakan kembali baru-baru ini.
“Kita tidak boleh memilih skandal mana yang perlukan RCI tetapi memandangkan saya lebih banyak membaca tentang isu 1MDB, saya rasa ia perlu disiasat terlebih dahulu berbanding yang lain,” kata Chin ketika ditemui di Midvalley Megamall di Kuala Lumpur.
Dia menambah yang skandal forex tidak mempunyai kesan langsung pada masa kini kerana ia sudah lama berlaku, tetapi skandal 1MDB yang baru berlaku ini memberi kesan kepada kualiti hidup kerana ia menjadikan harga barangan menjadi lebih mahal.
Anne Indahwati, 51, dari Puchong berkata kedua-dua skandal 1MDB dan forex BNM perlu disiasat.
“Kedua-dua kes sangat penting, walaupun saya tak tahu banyak tentang RCI. Bila menyentuh soal salah guna dana awam, kedua-duanya perlu disiasat. Kami mahu dengar fakta,” katanya.
Penulis blog yang berpangkalan di Pulau Pinang, Zainulfaqar Yaacob,34, berkata lebih mustahak untuk menyiasat 1MDB kini berbanding skandal forex yang berlaku lebih 30 tahun lalu.
“Skandal forex ialah kesilapan pelaburan. 1MDB pula mengenai dana awam yang dirompak dari Malaysia. Kedua-duanya skandal yang berbeza.
Read More / Baca Lagi >>