Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Dzulkifli Ahmad berkata semua saksi sama ada bersembunyi atau meninggalkan negara ini.
Dzulkifli mengesyaki semua saksi mungkin bersembunyi selepas SPRM beralih arah kepada individu yang dipercayai terlibat dalam sindiket yang memberi perlindungan kepada rumah urut dan pusat perjudian haram di Melaka.
Bulan lepas badan anti-rasuah menangkap ketua polis daerah Melaka Tengah dan Jasin kerana didakwa terbabit dalam memberi perlindungan kegiatan haram.
Beberapa pegawai kanan dari daerah dan negeri ibu pejabat polis turut ditahan dalam operasi itu. SPRM juga merampas sejumlah besar wang tunai dalam beberapa akaun bank milik suspek.
Turut ditahan adalah orang awam bernama "Gopi" yang didakwa Sarawak Report mempunyai hubungan telefon langsung dengan Ketua Polis Negara Khalid Abu Bakar. Khalid mengakui mengenali Gopi dan suspek juga pernah ke rumahnya.
Mengulas mengenai itu, Dzulkifli berkata, ia hanya dakwaan laporan dalam talian.
Beliau berkata SPRM akan menjalankan siasatan sendiri dan tidak menolak kemungkinan Khalid akan disoal.
"Ia bergantung kepada siasatan kami. Sama ada terdapat keperluan (untuk memanggil beliau atau tidak) kita akan lihat," kata Dzulkifli.
Berikutan operasi SPRM di Melaka, Khalid mengarahkan rombakan besar-besaran di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Melaka.
Pegawai polis yang ditangkap dan kemudian dibebaskan dengan jaminan serta-merta dipindahkan ke ibu pejabat polis persekutuan di Bukit Aman manakala pegawai baru dihantar untuk menggantikan mereka di Melaka.