Kleptokrasi, istilah yang barangkali agak baru bagi kebanyakan kita bermakna hasil yang diperolehi daripada mencuri. Jika sesebuah negara dirujuk sebagai negara kleptorasi, ia bermakna negara tersebut diperintah oleh pencuri wang rakyat.
Tindakan DOJ ialah untuk mengekang sistem kewangan negara mereka daripada dipergunakan untuk mencuci wang haram daripada sumber-sumber yang meragukan. Asasnya Amerika tidak mahu negara mereka dijadikan pengkalan dalam apa juga aktiviti berkaitan wang haram.
Sama ada selepas saman sivil itu akan diteruskan dengan tindakan jenayah atau tidak, ia terserah kepada DOJ untuk menentukannya berdasarkan bukti-bukti yang mereka ada.
Sekiranya ada asas untuk mendakwa, misalnya berkaitan penggubahan wang haram, maka yang terlibat akan didakwa di Amerika sana.
Dalam hal ini, jika ada tindakan jenayah seterusnya yang akan diambil, yang paling mungkin setakat ini terkait hanyalah Jho Low dan Riza Aziz bersama Mohamed Al Badawy serta Khadem Al Qubaishi saja.
Yang kehilangan harta, aset dan kekayaan juga adalah mereka.
Nama Najib Razak tidak disebut, cuma dalam pengetahuan DOJ bahawa ada Malaysian Official 1 turut menerima sejumlah AS$731 juta atau kira-kira RM3,000 juta daripada dana 1MDB yang dilencongkan itu.
Begitu juga dengan nama Rosmah Mansor turut tidak disebut, yang ada dalam fail DOJ hanyalah isteri Malaysian Official 1 yang didapati menerima pelbagai jenis barangan kemas berjumlah AS$28.6 juta atau RM128 juta.
Dalam waktu yang sama, selepas harta dan aset itu dirampas, hasilnya bukanlah akan diambil oleh Amerika Syarikat, tetapi dipulangkan kepada negara asal di mana ia berpunca. Dalam konteks ini, Malaysialah tempat wang tersebut akan dikembalikan.
Dalam erti kata lain, tindakan DOJ ini adalah baik dan menguntungkan Malaysia.
Tetapi, kenapa tidak ada pemimpin UMNO dan kerajaan yang menyokong dan menyambut baik tindakan DOJ itu?
Read More / Baca Lagi >>