Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Tan Sri Muhyiddin Yassin menyeru isteri perdana menteri memulangkan barangan kemas bernilai RM128 juta yang dibeli menggunakan wang 1MDB seperti didedahkan Jabatan Keadilan (DOJ) Amerika Syarikat.
Jabatan Keadilan (DOJ) Amerika Syarikat memfailkan saman sivil terbaru berkaitan dana 1MDB yang diseleweng yang turut menyebut tentang isteri Malaysian Official 1 (MO1).
Sebelum ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Rahman mengesahkan bahawa MO1 yang dinamakan dalam saman pertama DoJ pada tahun lalu adalah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.
Dalam kenyataan terbarunya Khamis lalu, DOJ mendakwa sebahagian daripada wang AS$620 juta yang didakwa oleh Malaysian Official One (MO1) yang kononnya telah dipulangkan kepada "penderma" beliau telah digunakan untuk membeli loket berlian 22 karat dan rantai leher untuk isteri MO1 pada harga kira-kira AS$27.3 juta.
DOJ juga menuduh ahli perniagaan Jho Low membeli 27 rantai leher emas 18 karat lain dan gelang tangan untuk isteri MO1, bernilai sebanyak AS$1.3 juta.
Muhyiddin berkata, dalam keadaan perbelanjaan kerajaan dipotong kerana kekangan kewangan yang meruncing, wang sebanyak itu boleh digunakan untuk pelbagai program kebajikan rakyat.
Beliau memberi contoh tabung Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin (KWAPM) yang pernah menerima peruntukan sebanyak RM400 juta pada tahun 2009 tetapi pada tahun ini hanya RM100 juta diperuntukkan kepada KWAPM untuk diagihkan kepada lebih 1 juta pelajar miskin di seluruh negara.
"Alangkah baiknya jika Datin Seri Rosmah Mansor dapat memulangkan barangan kemas tersebut kepada kerajaan. Dengan pemulangan itu, kerajaan akan mendapat pertambahan dana sebanyak RM128 juta yang boleh dimasukkan ke dalam tabung KWAPM untuk manfaat pelajar-pelajar miskin di seluruh negara.
"Saya menyebutkan perkara ini bukan dengan niat untuk menyindir. Tetapi untuk menunjukkan bagaimana kehilangan wang 1MDB memberi kesan kepada rakyat jelata. Betapa banyak manfaat yang sepatutnya dikecapi oleh rakyat telah hilang begitu sahaja oleh kerana penyelewengan yang dilakukan oleh seorang perdana menteri," katanya dalam kenyataan hari ini.
Semalam, Rosmah mengingatkan rakyat di negara ini supaya tidak mudah mempercayai fitnah yang sengaja diadakan bagi menjatuhkan pemimpin, organisasi mahupun negara.
Kata beliau, ada sesetengah pihak yang tidak bertanggungjawab telah menggunakan sosial media bagi tujuan itu.
Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata, laporan DoJ yang menyebut sebanyak RM20 bilion wang 1MDB telah dicuri oleh Najib, tidak termasuk RM52 bilion hutang dan tanggungan 1MDB yang kini menjadi tanggungan kerajaan adalah wang rakyat yang sepatunya digunakan untuk kepentingan rakyat.
"Bayangkan wang sebanyak RM20 bilion yang ‘hilang’ itu sepatutnya boleh digunakan untuk membina 500 buah sekolah dengan purata kos RM40 juta sebuah atau 800 buah klinik kesihatan dengan purata kos RM25 juta sebuah.
Read More / Baca Lagi >>