Kenyataan pertama dari pimpinan tertinggi PAS selepas lebih 24 jam dokumen terbaharu DoJ itu menjadi perbualan hangat di kedua-dua belah garisan politik.
PAS hari ini melahirkan kepercayaan pihak berkuasa tempatan lebih berkemampuan daripada Jabatan Kehakiman (DoJ) Amerika Syarikat untuk menyiasat isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Kerana itu, parti Islam mendoakan polis, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Bank Negara dan jabatan audit negara diberi keberanian untuk membongkar isu itu.
“Malangnya mereka kini terpaksa mengharungi penghinaan demi penghinaan oleh DoJ kerana mereka sedang berhadapan halangan-halangan yang tidak boleh disebut,” kata Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.
“Cukuplah hidup dalam keadaan tangan dan kaki digari dan mata sekadar dapat terbeliak membiarkan kemungkaran yang besar berlalu.”
Beliau berkata demikian dalam kenyataan hari ini, susulan tindakan terbaru DoJ untuk merampas pelbagai aset mewah bernilai AS$540 juta (RM2.3 bilion) yang didakwa dibiayai wang dilesapkan daripada 1MDB.
Awal semalam, DOJ memfailkan permohonan merampas aset yang didakwa diperolehi menerusi dana yang diseleweng daripada 1MDB, antaranya lukisan, kapal layar dan barang kemas.
Dokumen lebih 200 mukasurat turut menyenaraikan 27 barang kemas yang dihadiahkan kepada isteri “Malaysian Official 1” (MO1) berjumlah AS$1.3 juta (RM5.5 juta) daripada taikun kelahiran Pulau Pinang, Low Taek Jho, atau Jho Low, yang kini dipercayai berada di China.
Dokumen yang dikeluarkan DoJ minggu ini merupakan rentetan daripada kertas siasatan yang diumumkan pada Julai tahun lalu, di mana pihak berkuasa Amerika Syarikat (AS) membuat permohonan menyita aset yang dikaitkan dengan wang 1MDB berjumlah lebih AS$1 bilion.
“Sekali lagi, maruah pimpinan negara terutamanya BN dan pihak berkuasa Malaysia yang menyiasat isu 1MDB ditampar oleh DoJ di hadapan seluruh dunia,” kata Tuan Ibrahim.
“Mengapa DoJ dapat menyiasat dan membongkar pengaliran tunai 1MDB dengan sebegitu teliti manakala siasatan 1MDB di dalam negara pula tidak menampakkan apa-apa hasil?”
Read More / Baca Lagi >>