Update Skandal 1MDB: Peguam negara, apa jadi dengan siasatan polis ke atas 1MDB? >> Berita Malay 18

Mohamed Haniff Khatri Abdulla mahu peguam negara menyatakan secara jelas sama ada beliau mahu mendakwa sesiapa berhubung skandal 1MDB.
haniff-apandi-aliPeguam Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini mempersoalkan Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali mengenai hasil siasatan polis ke atas 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Mohamed Haniff Khatri Abdulla berkata polis memulakan siasatan apabila pengasas bersama PPBM Datuk Khairuddin Abu Hassan membuat laporan polis pada 12 Disember 2014.
“Apa hasil siasatan polis ke atas 1MDB?” katanya menjawab kenyataan Apandi hari ini yang mengatakan polis masih sedang menyiasat perkara itu.
Bagaimanapun, laporan media 12 April lalu memetik Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar sebagai berkata kertas siasatan 1MDB sudah diserahkan ke jabatan peguam negara.
Khalid berkata siasatan itu sudah diselesaikan “beberapa masa lalu”.
Haniff meminta peguam negara untuk tidak mengelirukan orang ramai kerana “rakyat bukan budak tadika”. Apandi sepatutnya mendedahkan keputusannya mengenai siasatan 1MDB itu.
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Zahid Hamidi dalam jawapan bertulis kepada Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara Tony Pua dilaporkan berkata, pada 11 Jun 2015, laporan polis Khairuddin dikelaskan di bawah Seksyen 409 Kanun Keseksaan atas kesalahan pecah amanah oleh penjawat awam atau ejen.
Zahid berkata kertas siasatan dirujuk kepada peguam negara pada 9 Mac 2015 untuk tindakan lanjut.
Haniff, yang mewakili Khairuddin dalam kes jenayah kerana cubaan mensabotaj sistem perbankan dan kewangan negara, berkata Apandi melakukan tindakan kurang bijak kerana mengulas mengenai langkah sitaan terbaru Jabatan Kehakiman (DoJ) Amerika Syarikat.
Peguam negara kecewa DoJ tidak berunding dengan pihak berkuasa Malaysia.
“Mengapa pula DoJ perlu merujuk kita apabila masyarakat antarabangsa tahu Malaysia menolak tawaran bantuan perundangan bersama malah kepada pihak berkuasa Switzerland yang menyiasat dakwaan pengubahan wang dalam 1MDB,” kata Haniff.
Beliau berkata Apandi membuat kenyataan mengarut apabila mengatakan siasatan yang dijalankan pihak berkuasa undang-undang tempatan mendapati tiada bukti yang menunjukkan wang 1MDB digelapkan.
Haniff berkata salah laku jenayah 1MDB yang didakwa itu berasal dari Malaysia dan wang dilencongkan ke beberapa agensi kewangan luar negara, termasuk Singapura.
“Sebahagian dari wang itu disalurkan semula sebagai laba haram, seperti RM2.6 bilion, kepada beberapa individu yang merupakan pesalah utama,” katanya.
Beliau berkata Malaysia perlu mengambil tindakan jenayah terhadap mereka yang bertanggungjawab dan tidak menyalahkan orang lain kerana mengambil tindakan.
Read More / Baca Lagi >>

Subscribe to receive free email updates: