Update Skandal 1MDB: Zeti akui BNM tak boleh dakwa 1MDB >> Berita Malay 18

Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz mengakui menguruskan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) adalah antara tugas paling mencabar dalam kerjayanya sebagai Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM).
Beliau menyedari banyak pihak menaruh harapan tinggi kepada BNM, tetapi mengakui bahawa, bank pusat itu tidak mempunyai kuasa untuk mendakwa.
“Banyak pihak berharap BNM boleh melakukan lebih banyak, namun kuasa BNM terhad kerana tidak mempunyai hak untuk melakukan pendakwaan.
"Tetapi BNM sentiasa memberi sokongan kepada mana-mana institusi yang boleh melakukannya,” katanya dipetik dalam temu bual eksklusif oleh akhbar Sin Chew Daily, lapor Sinar Harian.
Inilah kali pertama Zeti diwawancara oleh media tempatan setelah menamatkan kontrak sebagai Gabenor BNM pada April tahun lalu.
Zeti berkata, dalam menguruskan kes 1MDB, tugas utama BNM adalah memastikan sistem kewangan negara tidak dirosakkan.
“BNM memiliki undang-undang yang paling sempurna, termasuk Akta Bank Negara Malaysia 2009, Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 dan sebagainya bagi melindungi sistem kewangan dikendalikan dengan telus, stabil dan sihat.
“BNM telah mengeluarkan surat kompaun pentadbiran kepada 1MDB. Saya boleh katakan jumlah kompaun ini adalah ‘paling tinggi dalam sejarah negara’.
“Hanya inilah yang boleh dilakukan oleh BNM dalam kuasa yang terhad,” katanya.
Pada 28 April 2016, BNM mengeluarkan surat kompaun pentadbiran kepada 1MDB kerana gagal mematuhi sepenuhnya arahan yang dikeluarkan mengikut Akta Perkhidmatan Kewangan 2013. 1MDB diberikan tempoh sehingga 30 Mei, 2016 untuk membayar kompaun tersebut.
Bagaimana pun, sehingga hari ini, BNM tidak menjelaskan nilai sebenar kompaun pentadbiran yang dikenakan terhadap 1MDB.
Kira-kira dua minggu kemudian, Gabenor BNM yang baru dilantik, Datuk Muhammad Ibrahim memberitahu pihaknya telah menamatkan siasatan di bawah bidang kuasanya terhadap hal ehwal 1MDB.
Katanya, 1MDB telah menyatakan komitmen untuk membayar kompaun sebelum tarikh akhir pada 30 Mei 2016, menandakan tamatnya siasatan tersebut.
Bagaimanapun, Muhammad enggan memberitahu nilai kompaun yang dikenakan ke atas 1MDB, memandangkan ia bertentangan dengan amalan BNM bagi mendedahkan kuantum yang dikenakan terhadap individu khusus atau entiti kepada awam.
Read More / Baca Lagi >>

Subscribe to receive free email updates:

Related Posts :