Update Undi rosak, protes atau sudah bosan? >> Berita Malay 18

Oleh Dr Siva
BAHANG pilihan raya umum (PRU) semakin terasa. Saban hari ramai bercakap mengenainya dalam kalangan masyarakat baik di kedai kopi mahupun media sosial. Ia sudah pasti membabitkan undi yang bakal diperoleh oleh parti politik atau calon pilihan mereka. Namun, tidak ramai memberi tumpuan ke atas undi rosak dan kertas undi yang tidak dipulangkan untuk melihat sama ada ia adalah undi protes atau undi bosan dengan percaturan politik yang tidak pernah berakhir sejak PRU Ke-13. Para strategis tidak terkecuali.
Menjadi satu kebiasaan di dalam pilihan raya, kita sering melihat kehadiran undi ini yang sama ada berbentuk rosak ataupun tidak dipulangkan. Dalam PRU 2008, sebanyak 324,120 kertas undi didapati rosak yang ditolak manakala di dalam PRU Ke-13, 332,297 kertas undi adalah rosak. Sebanyak 171,556 undi adalah bagi kerusi Parlimen dan 151,741 adalah untuk Dewan Undangan Negeri (DUN).
Fenomena undi rosak sudah berlaku dalam siri pilihan raya dan ini boleh dilakukan kerana tidak dianggap songsang dengan tingkah laku pengundian atau satu kesalahan dan juga bukan diketahui awal kerana hanya ketara sewaktu pengiraan dilakukan.
Ada empat kumpulan masyarakat yang sama ada aktif atau pasif dalam arena politik. Ini termasuk sebilangan yang tidak melakukan apa-apa tindakan; sebilangan lagi terlibat dalam partisipasi ritual seperti pilihan raya termasuk mengundi, berkempen dan menjadi ahli parti politik.
Ada pula yang dikategorikan di bawah politik ganas dan yang terakhir adalah partisipasi protes atau bersifat konfrontasi yang sebenarnya memberi gambaran mengenai pengundi kertas undi rosak.
Yang tidak berpartisipasi adalah kumpulan yang tidak percaya pada sistem; kurang maklumat mengenai kepentingan pilihan raya; tidak percaya undi mereka penting; tidak yakin adanya pilihan yang munasabah dan sebilangan yang merasakan kekurangan sumber untuk terlibat secara efektif.
Namun, setiap kertas undi penting kepada calon yang bertanding di pilihan raya baik PRU atau pilihan raya kecil (PRK) kerana ia menjadi penentu kepada kemenangan mereka baik calon Barisan Nasional (BN) mahupun calon parti pembangkang serta calon Bebas.
Banyak cara untuk menggolongkan kertas undi rosak termasuk tidak menandakan mana-mana pilihan dan dibiarkan kosong; menggunakan tanda-tanda yang tidak diiktiraf oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR); menandakan lebih dari satu calon; menggunakan ungkapan yang tidak dibenarkan sebagai pengganti kepada tanda yang dibenarkan.
Ada juga yang mengoyakkan kertas undi sebagai protes atas sebab-sebab yang hanya diketahui oleh pengundi tersebut. Ada juga menunjukkan rasa bosan mereka dengan menggunakan kerahsiaan mengundi sebagai perlakuan yang tidak menyokong mana-mana pihak kerana dirasakan sama sahaja.
Ada pengundi yang menunjukkan mereka bertanggungjawab ke atas demokrasi berpartisipasi dengan mendaftar sebagai pengundi dan hadir di hari pilihan raya tetapi membuat keputusan untuk sama ada merosakkan kertas undi ataupun membawa pulang kertas undi tersebut yang sekali gus memberi kesan ke atas tanggungjawab mereka pada struktur perjalanan pilihan raya negara ini.
Read More / Baca Lagi >>

Subscribe to receive free email updates: