Datuk Zaid Ibrahim mendakwa tetamu rumah terbuka Aidilfitri Datuk Seri Najib Razak baru-baru ini sanggup melupakan dakwaan rasuah yang dikaitkan dengan perdana menteri itu demi makanan percuma.
“Mereka kelihatan tidak peduli mengenai harta yang dicuri, (skandal) yang diselindungkan dan salah guna kuasa asalkan mereka dapat makan percuma. Dan dalam kes-kes tertentu, kenaikan pangkat.
“Mereka sentiasa berbangga dengan diri sendiri sebagai orang baik, berpengetahuan dan warak tetapi tidak peduli mengenai rasuah apabila dapat makan percuma,” kata Zaid di blognya hari ini.
Najib mengadakan rumah terbuka sempena hari raya di kediaman rasmi perdana menteri, Seri Perdana, di Putrajaya pada 25 Jun lalu.
Ia dilaporkan dihadiri kira-kira 75,000 orang termasuk pelancong asing dengan sesetengah mereka tiba seawal 9 pagi walaupun majlis hanya bermula pada jam 10 pagi.
Pada 3 Julai lalu Naib Presiden PAS Datuk Iskandar Abdul Samad mengecam pihak tertentu yang didakwanya menghina tetamu rumah terbuka kerajaan Selangor di Ampang Jaya.
Aneh lihat rasa sayang
Iskandar yang juga exco kanan Selangor berkata ada antara tetamu itu kurang berkemampuan untuk meraikan Aidilfitri seperti orang lain.
Sementara itu Zaid berkata sambutan orang ramai terhadap rumah terbuka perdana menteri itu juga mendorong beliau mempertimbangkan semula jangkaannya mengenai pilihan raya umum akan datang.
Bekas menteri itu turut membangkitkan persoalan mengenai kos majlis itu kepada pembayar cukai.
“Mengapa mereka masih sayangkan perdana menteri dan isterinya adalah satu fenomena luar biasa yang membingungkan orang dari negara-negara lain. Ini memerlukan kajian teliti.
Read More / Baca Lagi >>