Shah Alam - Ketua Penerangan Umno Selangor, Datuk Zein Isma Ismail mendakwa Parti Amanah Negara (Amanah) lebih mirip kepada DAP dan jauh menyimpang dari acuan Pas.
Katanya, walaupun pemimpin Amanah pernah bersama Pas suatu ketika dahulu, namun pengaruh DAP ternyata lebih kuat dalam parti berkenaan.
“Sebagai contoh, mengikut perlembagaan Pas, pemegang jawatan tertinggi dalam Pas iaitu presiden, timbalan presiden, tiga naib presiden dan 18 ahli jawatankuasa kerja hendaklah dipilih dalam Muktamar Tahunan Pas setiap dua tahun sekali.
“Mengikut perlembagaan DAP pula, pemegang tertinggi iaitu pengerusi, timbalan pengerusi, lima naib pengerusi, setiausaha agung dan bendahari hendaklah dilantik oleh 20 Ahli Jawatankuasa Tertingg parti dalam Kongres Kebangsaan DAP setiap tiga tahun.
"Ternyata jawatan tertinggi Amanah dipilih mengikut kaedah seperti DAP iaitu 25 Ahli Jawatankuasa Tertinggi dalam Kongres Kebangsaan setiap tiga tahun melantik presiden, timbalan dan tiga naib presiden,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.
Justeru beliau menimbulkan persoalan adakah Amanah layak diberikan kepercayaan memartabatkan Islam di negera ini.
“Perlembagaan DAP jelas bertentangan dengan syariat Islam. Apakah Amanah bersama rakan dalam Pakatan Harapan mampu menghalang agenda besar DAP untuk mensakularkan negara ini?
“DAP ibarat abang sulong dalam Pakatan Harapan. Adik -adik yang masih baru, muda dan tidak kuat, pastinya perlu dibantu oleh abang long. Jika abang long yang membiayai kewangan adik, apakah adik berani melawan kehendak abang long?”solanya.
Menurutnya, merujuk Fasal dua Perlembagaan DAP, matlamat perjuangan parti itu adalah mengiktiraf kebebasan beragama sebagai hak asasi yang merangkumi kebebasan pelbagai agama daripada diancam oleh undang-undang yang bersifat menindas dan akta-akta berunsur diskriminasi.
“Hakikatnya, kerana itu DAP menentang keras pindaan Akta 355, kerana itu DAP menyokong kebebasan beragama dan mahukan hak supaya orang Islam juga bebas menukar agama. Sebab itu mereka menolak cadangan untuk memperkasakan kedudukan mahkamah syariah di Selangor,” katanya.
Beliau berkata, meskipun Perlembagaan DAP bertentangan dengan Islam, masih ada mereka yang bergelar ustaz dalam Amanah dan PKR terus menyokong dan bersengkokol.
“Apakah ada perjuangan lebih mulia darjatnya dari menjaga kesucian agama dan memartabatkan kedudukan Islam paling tinggi tidak ada yang lebih tinggi dari Islam?,”soalnya.