Agence France-Presse (AFP) hari ini melaporkan mereka terbabit adalah bekas pengerusi syarikat DCNI, Phillippe Japiot dan bekas ketua pegawai eksekutif syarikat pertahanan gergasi Thales, Jean-Paul Perrier.
Menurut Faiz, siasatan berhubung kes itu penting bagi membersihkan nama baik negara memandangkan kes jenayah rasuah tersebut membabitkan dakwaan pembuat kapal selam Perancis itu membayar lebih €114 juta (RM560 juta) sebagai komisen kepada sebuah syarikat kosong yang dikaitkan dengan Razak Baginda.
"Beliau (Najib) adalah Menteri Pertahanan ketika itu. Bayaran komisen yang didakwa tersebut adalah wang rakyat yang sumbernya dipercayai daripada bayaran pembelian kapal selam itu.
"Hubungan rapat di antara Najib Razak dan Razak Baginda menjadi spekulasi umum kerana Razak Baginda dibebaskan daripada pertuduhan membunuh Atlantuya Shariibuu sedangkan dua orang anggota Unit Tindakan Khas (UTK) iaitu Sirul dan Azilah yang dituduh sebagai rakan sejenayah (accomplice) telah didapati bersalah dan dijatuhkan hukuman mati," katanya.
Beliau menyifatkan SPRM mempunyai tanggungjawab mempertahankan keluhuran undang-undang dan integriti institusi itu yang pada masa ini gagal bertindak secara telus dan berani untuk menyiasat Najib Razak berhubung skandal mega 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
"Tindakan kerajaan Perancis ini hendaklah dipandang serius oleh semua pihak di negara ini yang menunjukkan jenayah rasuah semakin meruncing di bawah pentadbiran Najib Razak.
"Usahlah pula menganggap tindakan kerajaan Perancis ini sebagai campur tangan kuasa asing. Namun, jika SPRM gagal bertindak, maka rakyat dan masyarakat antarabangsa akan menganggap SPRM sudah tiada kuasa," ujarnya.
Read More / Baca Lagi >>