Memetik satu artikel dari akhbar Bahasa Cina, Oriental Daily bertarikh 06/07/2017, Lim Kit Siang telah mengingatkan MCA dan Gerakan supaya tidak terlalu seronok dengan masalah pendaftaran parti yang dihadapi DAP. Lim Kit Siang mendakwa jika DAP dibatalkan pendaftarannya MCA dan Gerakan akan kalah teruk dalam Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
Nampak sangat DAP terdesak untuk menarik dua parti komponen Barisan Nasional (BN) iaitu MCA dan Gerakan untuk sama-sama melompat dalam isu pemilihan Central Executive Committee (CEC) parti mereka. Carian ke atas isu berkenaan tidak menjumpai sebarang komen atau ulasan yang dibuat oleh mana-mana pemimpin MCA dan Gerakan ke atas isu tersebut. Ini isu dalaman DAP. DAP seharusnya menyelesaikan isu berkenaan dengan Pendaftar Pertubuhan (ROS) tanpa melibatkan pihak lain.
Kedua, di mana logiknya dengan dakwaan Lim Kit Siang bahawa sekiranya DAP dibatalkan pendaftarannya, MCA dan Gerakan akan kalah teruk di dalam PRU-14 yang akan datang. Siasatan ROS ke atas DAP adalah berdasarkan kepada dakwaan penyelewengan yang dibuat oleh ahli-ahli DAP sendiri semasa pengundian pemilihan CEC. Langsung tidak ada kena mengena dengan ahli atau pemimpin MCA mahupun Gerakan. Agak janggal dan pelik sekiranya DAP mengatakan MCA dan Gerakan akan kalah teruk di dalam PRU-14 disebabkan undi simpati ke atas DAP.
Untuk rekod, di dalam PRU-13, MCA menang 7 kerusi Parlimen dan 11 kerusi DUN manakala Gerakan menang 3 kerusi Parlimen dan 1 kerusi DUN. Masalah pendaftaran parti DAP dengan ROS bermula pada tahun 2012 iaitu sebelum PRU-13. Sehingga kini, setelah 5 tahun masalah itu belum selesai. Baru-baru ini dibangkitkan isu ini dibangkitkan semula, bukan oleh pihak lain malah dari pemimpin diktator DAP itu sendiri. Mungkin ini strategi murahan yang akan digunakan DAP semasa PRU-14 yang akan datang.