Keputusan kerajaan Sarawak menghantar sepasukan peguam ke London bagi meneliti perjanjian Malaysia 1963 adalah langkah tidak cerdik, kata Naib Presiden AMANAH, Salahhuddin Ayub
"Hampir 55 tahun Sarawak bersama Malaysia, nampaknya ketua menterinya, Abang Jo (Datuk Amar Johari Tun Openg) masih jahil berkenaan Perjanjian Malaysia 1963.
"Seharusnya, kerajaan Sarawak hanya perlu membaca empat sudut Perjanjian Malaysia bagi mengetahui dan menghadami hak yang ada pada Sarawak kerana menjadi prinsip undang-undang bahawa segala terma yang dipersetujui selama ini telah termaktub di dalamnya," katanya di dalam satu kenyataan media.
Kajian itu katanya adalah sandiwara politik kerajaan BN bagi menyakinkan rakyat Sarawak bahawa kerajaan negeri mahu membuat tuntutan tambahan terhadap kerajaan persekutuan.
"Ia adalah tindakan yang sia-sia dan membazir wang rakyat. Melainkan Abang Jo mungkin tidak percaya dengan peguam negara lantikan Putrajaya dalam menasihati MA63 sehingga terdesak merujuk ke London," katanya yang mencabar ketua menteri mendedahkan kos sebenar misi rombongan berkenaan.
Pada 1 Julai lalu, Abang Johari berkata Sarawak akan menghantar sepasukan peguam ke London untuk mencari dan meneliti rujukan berhubung Perjanjian Malaysia 1963.
Tindakan itu bagi menentukan hak-hak sebenar negeri berkenaan yang termaktub di bawah perjanjian tersebut.
Sementara itu menurut Salahuddin, banyak isu membabitkan kebajikan rakyat Sarawak gagal disuarakan ahli parlimen BN, malah mereka menyokong dasar yang dilaksanakan kerajaan persekutuan seperti Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).
"Adalah lebih baik bagi ketua menteri Sarawak menumpukan perhatian kepada masalah yang dihadapi rakyat Sarawak seperti masalah tanah, kesenjangan hak-hak suku kaum, pembangunan luar bandar dan pendidikan anak Sarawak.
"Usahlah memainkan semangat anti Malaysia dan perasaan rakyat Sarawak dengan mengheret mereka ke kancah sandiwara politik sedangkan masalah empirikal rakyat Sarawak tidak diselesaikan," katanya. - MK