Foto via NST |
Timbalan Menteri Pendidikan II, Senator Datuk Chong Sin Woon berkata, pihaknya bagaimanapun sedang meneliti perancangan pelaksanaan tersebut bagi memastikan semua sekolah terlibat mempunyai kelas mencukupi.
Beliau berkata, selain tambahan kelas pihaknya juga sedang meneliti keperluan untuk membina sekolah baharu di kawasan memerlukan.
“Kalau boleh, kita mahu adakan sekolah satu sesi sahaja kerana sekolah dua sesi ini adalah sangat tidak kondusif kepada anak-anak terutama mereka yang pergi sekolah pada sesi petang.
“Kita akan siapkan kelas dan sekolah yang mencukupi bagi membolehkan konsep satu sesi dilaksanakan di seluruh negara.
“Dengan pelaksanaan sekolah satu sesi ini, lebih banyak aktiviti dan kokurikulum tambahan dapat dijalankan dengan lebih efektif selain memastikan ana-anak gembira datang ke sekolah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menghadiri program Talk Kopitiam di Kampung Baru Labu Batu 8 di sini, semalam.
Sementara itu, Sin Woon berkata, kementerian juga sedang berusaha untuk mengurangkan bebanan murid dengan tidak membekalkan kerja sekolah di rumah yang banyak.
Menurut beliau, pihaknya ada menerima aduan daripada ibu bapa yang tidak selesa dengan segelintir guru membekalkan kerja sekolah untuk dibuat di rumah dengan jumlah terlalu banyak sehingga membebankan anak-anak.
Sebab itu, katanya, sistem pendidikan baharu yang akan dirombak itu lebih tertumpu kepada penggunaan pendekatan Penaksiran Psikometri, Ujian Penaksiran Sekolah, serta Penaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum (PAJSK) bagi menguji tahap kebijaksanaan murid secara menyeluruh.
“Ibu bapa perlu menyokong dan sedia menerima perubahan dalam sistem pendidikan di negara ini agar kita dapat melahirkan murid yang benar-benar bijaksana dalam segenap sudut.
“Kalau dulu sistem pendidikan kita berorientasikan peperiksaan tetapi kini kita akan lebih kepada konsep Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT).
"KBAT ini lebih melihatkan sisi perspektif pembangunan sahsiah murid agar mereka lebih kreatif serta berinovatif,” katanya.
Sumber: GPS Bestari