Paparan skrin video senamrobik berlatarkan lagu nyanyian Vida, 'I Am Me'. Sumber Facebook 'Krul Nizam' yang dikongsi di Facebook 'Kami Guru Malaysia'. |
Walaupun lagu bertajuk ‘I Am Me’ disindir segelintir pihak sebagai ‘Ayam Mi’, tetapi semakin banyak parodi dibuat selepas klip video single pertama Vida dilancarkan minggu lalu.
Terbaharu, lagu yang kedengaran 'catchy' ini dimainkan semasa sesi senamrobik di sebuah sekolah rendah.
Menerusi satu video yang dimuat naik oleh pengguna Facebook ‘Krul Nizam’, lagu ‘I Am Me’ itu dimainkan di kawasan lapang yang menghimpunkan sekumpulan murid di Sekolah Kebangsaan (SK) Tagaroh di Kota Marudu, Sabah.
Malah, video yang berdurasi kira-kira seminit itu turut dikongsikan Krul Nizam di halaman Facebook ‘Kami Guru Malaysia’ pada petang Khamis.
Menariknya, jurulatih senamrobik yang mengendalikan sesi berkenaan berbaju warna merah jambu, warna yang begitu sinonim dengan Vida.
Setiap gerak tangan dan langkah jurulatih berkenaan diikut sekumpulan murid dengan diringi lagu Vida yang ceria dan bertenaga.
“Senamrobik awal pagi dengan iringan lagu Datuk Seri Vida,” kata Krul Nizam di laman sosial.