Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail akan mengadakan perbincangan segera dengan pimpinan Pakatan Harapan bagi merayu Yang Di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja membuat ketetapan berikutan perlanjutan perkhidmatan dua hakim kanan negara ini.
Beliau berkata, pelantikan semula Tan Sri Md Raus Sharif untuk tempoh tiga tahun, dan Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin (dua tahun) teramat kontroversi.
“Tindakan ini akan mewujudkan duluan di mana hakim-hakim akan membuat keputusan untuk memuaskan cabang eksekutif demi mendapatkan habuan iaitu lanjutan tempoh perkhidmatan dengan cara yang meragukan ini,” katanya dalam kenyataan, semalam.
Ketua pembangkang itu berkata, hakim tambahan boleh dilantik atas nasihat ketua hakim negara yang masih berkhidmat, selain daripada jawatan yang termaktub dalam Perkara 122(1) Perlembagaan Persekutuan, iaitu ketua hakim negara, presiden Mahkamah Rayuan, hakim besar Malaya dan hakim besar Sabah dan Sarawak serta 11 hakim Mahkamah Persekutuan.
“Maka pengumuman Pejabat Perdana Menteri bahawa pelantikan terbaharu ini dibuat atas nasihat ketua hakim negara yang baru bersara April lalu perlu dipersoal,” katanya yang juga ahli Parlimen Permatang Pauh.
Read More / Baca Lagi >>