Kelonggaran syarat lulus Bahasa Melayu peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bagi pelantikan jawatan Pegawai Perubatan Gred UD41 adalah satu pengkhianatan kepada negara.
Demikian kekesalan yang diluahkan oleh pendakwah bebas, Prof Dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah ketika diminta mengulas berhubung isu berkenaan.
Beliau berkata, ianya jelas satu pengkhianatan oleh pihak yang bertanggungjawab meluluskannya dan juga pelajar perubatan yang mahu melepaskan diri.
Katanya, pihak bertanggungjawab sanggup mengenepikan agenda negara semata-mata mahu meraikan pelajar perubatan.
“Belajar daripada Jepun selepas menjadi padang jarak padang tekukur dalam Perang Dunia Ke-II pada 1945. Jepun belajar erti membina negara.
“Membina negara adalah segalanya sebelum membina perkara lain. Jepun amalkan making people before making product. Bina insan dahulu sebelum keluarkan produk,” katanya ketika dihubungi Ismaweb, hari ini.
Bagaimanapun Ridhuan Tee berkata, keadaan itu berbeza dengan Malaysia, di mana mengeluarkan produk tanpa membina insan.
“Inilah malapetaka yang akan menimpa. Kelayakan asas bahasa negara adalah isu negara dan tidak boleh dimain-main atau diperjudikan.
“Nampaknya kita suka memperjudikan isu negara. Jika beginilah caranya kita membina negara, pasti kita akan keluar menjadi negara maju yang gagal. Tidak ada erti kemajuan meterial tanpa disertai dengan kemajuan pembangunan insan,” katanya.
Serentak itu katanya, pihak yang bertanggungjawab terhadap perkara itu dan pelajar perubatan sepatutnya berasa malu keputusan berkenaan.
“Tidak ada negara yang sanggup membuat keputusan hina, kerana pada mereka negara jauh lebih besar daripada individu.
“Belajarlah daripada negara lain bagaimana mereka membina negara, jika tidak mahu belajar daripada bangsa dan negara sendiri,” katanya. - ismaweb