Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Azalina Othman menjadi sasaran beberapa ahli parlimen pembangkang kerana enggan mendedahkan jumlah perbelanjaan beberapa acara dan majlis membabitkan perdana menteri Datuk Seri Najib Razak dan isterinya Datin Seri Rosmah Mansor.
Ahli Parlimen Kulai, Teo Nie Ching sebelum ini mendakwa Azalina memberikan 'jawapan sampah' apabila gagal mendedahkan kos terperinci berhubung lawatan Rosmah yang juga penaung Permata ke London bersama dua menteri lain termasuk Azalina.
Anthony dalam sidang media di parlimen mengakui tidak mempertikaikan hak perdana menteri untuk menganjurkan sebarang acara rasmi, namun butiran perbelanjaannya perlu dimaklumkan kepada umum.
"Fungsi Parlimen adalah mempersoalkan dan memantau sebarang perbelanjaan daripada perdana menteri ataupun menteri," ujar beliau.
Setiausaha Organisasi DAP itu juga kesal kerana situasi parlimen khususnya Dewan Rakyat kini banyak berubah apabila jawapan yang diberikan kerajaan tidak memuaskan selain gagal menepati soalan yang diajukan anggota dewan.
"Parlimen pernah menjawab soalan seperti ini dahulu, beberapa tahun lepas saya juga pernah tanya soalan yang sama berkenaan kos penganjuran rumah terbuka Aidilfitri, dijawab oleh (Datuk Seri) Shahidan Kassim. Pada tahun 2013 kosnya RM2.88 juta.
"Saya nak mengetahui sama ada selepas beberapa tahun adakah kos ini meningkat dan sama ada ia berpatutan. Apakah yang dimaksudkan 'sederhana' (dalam jawapan bertulis Parlimen oleh Azalina). Kami sebagai ahli Parlimen berhak untuk mempersoalkan.
"Tapi, nampaknya sekarang ini, satu trend baru di Parlimen (apabila) apa-apa persoalan mengenai perdana menteri, sama ada kos jet peribadi dia ataupun kos Rosmah pergi ke London atau penganjuran rumah terbuka Aidilfitri, tidak boleh dipersoal," ujarnya.
Sehubungan itu Anthony menggelar Azalina sebagai menteri hal ehwal parlimen terburuk dalam sejarah negara ekoran gagal menjawab persoalan secara telus dan tepat.
"Saya nak bagitahu dia (Azalina), kalau dia tak nak jawab soalan, tak payah jadi menterilah, lebih baik dia letak jawatan daripada menjadi menteri yang menjaga Parlimen," tegasnya.
Dalam jawapan bertulis Parlimen bertarikh 25 Julai tersebut, Azalina sekadar menyatakan bahawa kos rumah terbuka Hari Raya di Seri Perdana diletakkan di bawah elaun hiburan perdana menteri dan kos berkenaan adalah 'sederhana' meskipun Anthony menuntut kos terperinci.