Menerusi makalah bertajuk “Kisah Kek dan Hak Melayu” (Malaiur Manikam, 2015), saya antara lain menghuraikan makna “Melayu” menurut Perlembagaan Persekutuan, Wasiat Raja-Raja Melayu, Enakmen Kerakyatan Negeri-negeri Melayu, Enakmen Tanah Rizab Melayu, dan Enakmen Perhutanan.
Pandangan Mohd Salleh Abas dalam buku Prinsip Perlembagaan dan Pemerintahan di Malaysia (2006), serta pandangan Mohamed Suffian dalam buku Modul Hubungan Etnik (2012) turut dipetik.
Sebaik buku itu terbit, ada pihak yang tidak mahu (tidak tahu?) membaca telah tampil menuduh buku saya menghina orang Melayu. Malah, ada juak-juak yang mahu Agong campur tangan, dan meminta kerajaan mengharamkan Malaiur Manikam!
Makalah berkenaan sebenarnya cuba menjawab pertanyaan siapa yang sebenarnya merampas hak orang Melayu di negara ini. Sering kali dikatakan kononnya orang India dan Cina yang merampas peluang dan hak yang sepatutnya dimiliki oleh orang Melayu.
Saya cuba menjelaskan bahawa hak itu sebenarnya dirampas secara licik oleh sekelompok orang “Bukan Melayu” selepas mereka masuk Islam dan mula menggelarkan diri sebagai “Melayu”. Huraian lanjut boleh dibaca dalam makalah “Kisah Kek dan Hak Melayu”.
Baru-baru ini, Presiden MIC, Datuk Seri Dr S. Subramaniam dilaporkan berkata, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak telah melakukan lebih banyak kebaikan kepada kaum India berbanding “perdana menteri sebelum ini, termasuk seorang yang keturunannya dari negara India”.
Pandangan itu dipercayai merujuk kepada Tun Dr Mahathir Mohamad di mana nenek moyangnya dikatakan orang Malayali dan berasal dari Kerala, India. Secara teknikal, Mahathir adalah India Muslim (mamak), tetapi sudah diiktiraf sebagai Melayu.
Terkini, Najib sudah sepenuh hati menerima orang India Muslim sebagai Bumiputera. Menurut laporan Utusan Malaysia baru-baru ini, Najib berkata: “Hakikatnya tuan dan puan [masyarakat India Muslim] adalah Bumiputera.”
Pada pandangan Khoo Kay Kim pula, orang India Muslim tidak boleh diiktiraf sebagai Bumiputera, tetapi mereka boleh diisytiharkan sebagai orang Melayu. Persekutuan Pertubuhan India Muslim Malaysia (Permim), iaitu sebuah NGO India Muslim, tetap dengan pendirian bahawa mereka layak diiktiraf sebagai Bumiputera. Pada tahun 2014, Permim pernah menuntut hak orang India Muslim diiktiraf sebagai “Melayu” dan “Bumiputera” menurut Perkara 160 Perlembagaan Persekutuan.
Pada masa kini, ramai India Muslim menganggap diri mereka orang Melayu. Mereka mahu dilayan seperti orang Melayu. Mereka mahu diberikan hak sama seperti orang Melayu. Kalaulah Najib menerima pula mereka sebagai Bumiputera, tentu situasi sosial, politik, ekonomi dan sebagainya akan mengalami perubahan yang amat ketara.
Read More / Baca Lagi >>