Pengerusi PH itu berkata forum itu satu lagi peluang untuk perdana menteri membersihkan namanya.
Masih berharap Najib menyahut cabaran untuk tampil ke forum “Nothing to Hide 2.0” anjuran PPBM pada 13 Ogos ini, Dr Mahathir berkata platform itu akan menjadi tempat terbaik untuk Najib menyangkal dakwaan yang dilemparkan terhadapnya.
“Ia tak membuang masa. Saya beri peluang kepada dia untuk menjelaskan semua dakwaan terhadapnya.
“Dia boleh kata tak bersalah, dan tunjukkan bukti. Saya pula kata dia ada melakukan kesalahan, saya ada bukti.
“Dia boleh jelaskan dan bersihkan nama. Kami beri peluang dan dia patut berterima kasih.”
Pengerusi PH berusia 92 tahun itu bercakap kepada pemberita di majlis rumah terbuka anjuran ahli politik DAP Datuk Zaid Ibrahim.
Minggu lepas, Dr Mahathir mengundang Najib ke forum kedua “Nothing to Hide”, dan berkata mereka boleh berbincang mengenai bagaimana bekas perdana menteri itu mengkayakan anak-anaknya dan bagaimana perdana menteri memiliki RM2.6 bilion dalam akaun peribadi.
Najib belum menjawab undangan Dr Mahathir itu, tetapi pemimpin Umno bercakap bagi pihaknya. Mereka kata Najib sebagai seorang pemimpin negara tidak perlu menghadiri forum yang akan menolak semua penjelasannya.
Sementara itu, Dr Mahathir menjamin keselamatan Najib. Beliau berkata demikian kerana forum pertama “Nothing to Hide” yang diadakan di Pusat Dagangan Dunia Putra pada 2015 tidak mendapat kebenaran polis.
Read More / Baca Lagi >>