Pemuda Amanah Nasional menggesa Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom membangkitkan isu ketelusan tajaan haji oleh 1MDB bagi memastikan ia bebas daripada sebarang bentuk penyelewengan.
Timbalan ketuanya Faiz Fadzil berkata, ini kerana 1MDB tidak mempunyai kedudukan kewangan yang kukuh - modal perniagaannya diperoleh daripada pinjaman berkonsepkan riba.
Sejak tahun 2011, seramai 5,711 jemaah telah ditaja menunaikan haji dengan perbelanjaan sebanyak RM56 juta melalui program khas Perdana Menteri -Yayasan 1MDB.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa program berkenaan Datuk Jailani Ngah, pada tahun ini pula seramai 1,100 jemaah ditawarkan menyertai program tersebut.
Faiz juga berkata, skandal 1MDB diibaratkan sebagai rompakan terbesar dunia dan kini menjadi subjek penyiasatan di pelbagai negara termasuk yang terbaru dari Jabatan Keadilan Amerika Syarikat (DOJ).
“Pendedahan ini telah membuktikan wujudnya kes prima facie salah laku jenayah oleh Perdana Menteri (Datuk Seri) Najib Razak. Pendedahan ini juga telah memprejudiskan kedudukan politik Najib Razak dan populariti beliau juga semakin merosot.
“Maka, dalam keadaan politik Najib Razak yang terumbang-ambing sekarang, timbul persoalan sama ada tajaan haji ini sebagai langkah terdesak Najib Razak untuk menutup segala kepincangan yang berlaku dalam skandal berskala mega ini dengan menggunakan helah agama dan kebajikan sebagai kelubung,” katanya.
Jabatan Keadilan Amerika (DoJ) baru-baru ini memfailkan tuntutan undang-undang sivil kali ketiga dengan tujuan merampas semula aset yang didakwa dibeli dengan wang yang diselewengkan daripada 1MDB.
Saman tersebut juga mendedahkan bahawa sebanyak AS$4.5 bilion wang 1MDB telah diseleweng.