Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata rombakan berkenaan bertujuan memperkemaskan PDRM.
"Arahan dikeluarkan semalam. PRDM sedang mempersiapkan diri untuk menghadapi Sukan SEA, PRU.
"Kalau diperhatikan rombakan atau pertukaran jawatan itu dibuat adalah ke arah itu - terutamanya untuk PRU nanti," katanya pada sidang media di Bukit Aman, Kuala Lumpur hari ini.
Pada 11 Jun lalu Khalid mengumumkan rombakan besar-besaran itu akan dibuat selepas sambutan Aidilfitri.
Malaysiakini melaporkan rombakan berkenaan dibuat di peringkat atasan di semua bahagian Bukit Aman.
Menurut Khalid sekurang-kurangnya 20 anggota dan pegawai dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman telah pun ditukarkan.
"Peringkat bawahan JSJN kita dah mula buat beberapa pertukaran jadi ada sedikit lagi pertukaran kita akan buat.
Pada 5 Julai lalu pula PDRM mengumumkan rombakan, pertukaran dan kenaikan pangkat anggotanya membabitkan 46 jawatan.
Ia akan mula berkuat kuasa 7 Ogos ini.
Khalid menjelaskan rombakan itu adalah perkara biasa dan juga dibuat ekoran ada pegawai yang bersara.
Untuk rekod temasya Sukan SEA akan berlangsung di Kuala Lumpur mulai 19 hingga 30 Ogos ini. PRU ke-14 pula dijangka akan diadakan tidak lama lagi walaupun kerajaan mempunyai mandat untuk terus mentadbir negara sehingga suku ketiga tahun depan.