"Saya terkejut dengan kenyataan yang dibuat Zahid. Tidak pernah ada sesiapa yang menyentuh tentang perkara, asal usul saya yang berbeza daripada apa yang diketahui umum.
"Ia menunjukkan betapa pembohongnya Zahid," kata Dr Mahathir dalam siaran video pada akauan Facebook Bersatu petang ini.
Bekas perdana menteri yang kini menjadi ketua pembangkang itu mengulas kenyataan Zahid di perhimpunan agung tahunan Umno Kelana Jaya semalam yang mengatakan ayah Dr Mahathir seorang India.
"Dr Mahathir lupa mengenai fakta ini – dia adalah anak Iskandar Kutty. Pada kad pengenalan birunya, nama dia Mahathir anak lelaki Iskandar Kutty.
"Ini diperoleh daripada ketua pengarah Jabatan Pendaftaran Negara. Patutlah dia mudah lupa, sebab dia anak laki-laki Iskandar Kutty," kata timbalan presiden Umno itu.
Dr Mahathir menuduh Zahid sebagai seorang pembohong kerana beliau tidak mampu menunjukkan nama pada kad pengenalan berkenaan.
"Saya masih ingat kad pertama yang saya terima semasa belajar di univerisiti. Justeru, kalau dia boleh tunjuk, saya hendak tengok. Jangan sembunyi, jangan buat seperti Apandi,"katanya merujuk kepada Peguam Negara Mohamed Apandi Ali, yang awal bulan ini dipanggilnya pembohong juga kerana mempertahankan Perdana Menteri Najib Razak dalam skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).