Sewaktu hari terakhir Ramadan baru-baru ini saya ke Bazar Ramadan di sebuah negeri luar Kuala Lumpur. Pada masa itu, gerai pun tinggal beberapa kerat sahaja, maklumlah peniaga juga mahu beraya. Lalu saya tuju ke sebuah gerai yang masih terbuka. Gerai jual popiah. Nampak menarik dan sedap.
“Dik, berapa sekeping?” tanya saya. “Singgit” jawabnya ringkas sambil menggulung popiah.
“Mahalnya dik!” balas saya spontan sebab setahu saya kalau di KL pun harga popiah tidak lah sampai satu Ringgit.
Biasanya di KL pun peniaga jual sekitar lima untuk RM4 atau 80 sen sekeping. Selepas tawar menawar mereka jual 10 keping dengan harga RM7, jadi jatuh 70 sen sekeping. Saya beli dan doakan bisnes adik-adik itu diberkati sebelum beredar.
Kisah popiah ini saya timbulkan bukan untuk mengutuk peniaga atau untuk menunjukkan betapa perlunya kita bijak dalam membeli. Ia sekadar untuk menonjolkan kesan kenaikan harga barang yang menekan kehidupan peniaga dan pengguna. Peniaga terpaksa menaikkan harga popiah kerana kos meningkat. Pengguna tawar harga kerana tak mampu bayar.
Apakah kenaikan harga barang dan kos sara hidup sesuatu yang benar berlaku atau hanya mainan politik pembangkang untuk mensabotaj ekonomi negara?
Untuk jawapannya, saya mengajak teman-teman pembaca untuk meneliti angka-angka penunjuk berikut. Pertama, kadar inflasi dan kedua, kadar mata wang Ringgit.
Kadar inflasi atau kadar kenaikan harga boleh diukur melalui Indeks Harga Pengguna (IHP). IHP Malaysia dilaporkan meningkat ke paras tertinggi dalam tempoh lapan tahun pada bulan Februari 2017 iaitu 4.5 peratus berbanding dengan 3.2 peratus pada bulan sebelumnya. Kadar 4.5 peratus itu adalah yang tertinggi sejak November 2008.
Bagaimanapun sebahagian firma penyelidikan mengunjurkan kadar tersebut akan menurun antara 3.0 hingga 3.2 peratus untuk suku kedua 2017 mengaitkannya dengan harga minyak mentah dan kadar tukaran mata wang asing. Harga minyak dijangka kekal atau menurun manakala Ringgit diramal mengukuh.
Sedang ini menjadi andaian, sekilas pandang kepada graf IHP terkini yang diterbitkan Jabatan Perangkaan bagi menerangkan kadar inflasi dalam bulan Februari 2017 menunjukkan graf yang kekal menokok dari tahun ke tahun walaupun harga minyak turun naik.
Yang paling tinggi ialah harga makanan dan minuman bukan beralkohol iaitu 28.4% lebih mahal pada Januari 2017 jika dibanding dengan 2010.
Kalau tinjau di pasar pun kita tahu harga ikan telah mendadak naik, contohnya harga ikan kembung yang dilaporkan sehingga RM20 sekilo.
Ini menunjukkan bahawa harga barang keperluan utama adalah tidak anjal berbanding harga minyak atau kadar mata wang. Ini memberi gambaran ada faktor-faktor lain yang menyebabkan harga barang kekal tinggi.
Read More / Baca Lagi >>