KENYATAAN Ahli Majlis Tertinggi Umno Ab Aziz Kaprawi bahawa saman sivil Jabatan Keadilan Amerika Syarikat (DoJ) sebagai janggal kerana difailkan tanpa mendapat maklumat yang tepat kerana tidak memanggil Presiden 1MDB Arul Kanda memberikan keterangan, menunjukkan kejahilan Datuk Aziz berkaitan prosedur undang-undang.
Manakala pihak ketiga yang terkilan (aggrieved) atau mempunyai kepentingan dalam saman tersebut pula seharusnya memfailkan permohonan mencelah (intervener) untuk mempertahankan hak atau menyangkal dakwaan dalam saman tersebut. Pihak pencelah pula seterusnya akan memfailkan penyata pembelaan bagi manjawab dakwaan saman tersebut.
Hanya setelah prosedur ini dipenuhi, satu perbicaraan akan ditetapkan di mana DoJ di peringkat ini barulah akan mengemukakan keterangan dan saksi bagi membuktikan segala dakwaan dalam saman tersebut.
Di sini, jelaslah kejahilan Aziz dan mana-mana individu yang mempertikaikan kesahihan saman tersebut dan nilai keterangan yang dimiliki DoJ.
Tunggulah hari perbicaraan di mana kesemua keterangan dan saksi akan dipanggil dan memandangkan saman tersebut pun sudah menjangkau 251 mukasurat yang sarat dengan fakta yang begitu jelas dan probabel, sudah pasti lebih daripada dua saksi akan dipanggil memberikan keterangan.
Seharusnya, Datuk Aziz mendapatkan nasihat daripada mana-mana peguam di negara ini yang jumlahnya melebihi 12 ribu bagi mendapatkan nasihat sebelum memberikan komen yang boleh mengelirukan rakyat dalam membela perdana menteri yang diakui Abdul Rahman Dahlan sebagai MO1.
Saya yakin jika beliau mendapat nasihat yang baik, sudah pasti beliau akan menasihatkan 1MDB, perdana menteri, isteri MO1 dan peguam negara bagi pihak kerajaan Malaysia memfailkan permohonan mencelah dan mencabar segala dakwaan saman tersebut serta menyediakan sebanyak mungkin keterangan dan saksi bagi menyangkal keterangan yang bakal dibawa DoJ.
Secara prinsipalnya, DoJ tidak akan mampu memfailkan saman tersebut yang sarat dengan fakta tanpa memiliki bukti dan keterangan yang sahih dan kredibel.
Read More / Baca Lagi >>