Penasihat kebangsaan parti itu, Lim Kit Siang mengecam kenyataan Hadi semalam yang menyalahkan Dr Mahathir Mohamad kerana skandal masa kini yang melibatkan 1Malaysia Development Bhd.
"(Ini) sekaligus mengatakan hanya kerana terdapat skandal di masa lalu, rakyat Malaysia tidak sepatutnya membantah skandal lain – walaupun skandal 1MDB adalah skandal kewangan terbesar dalam sejarah negara.
"Atas dasar ini, Hadi akan dapat mempertahankan dan mewajarkan semua penyalahgunaan dan rasuah kuasa oleh kerajaan Najib (Razak)," kata Lim.
Hadi berkata skandal 1MDB adalah kesan "kepimpinan melalui teladan" oleh BN sejak bertahun-tahun, dan menyalahkan pentadbiran Dr Mahathir.
Beliau juga menyebut skandal Bumiputra Malaysia (BMF), Perwaja Steel, KWSP (Tabung Simpanan Pekerja), Tabung Haji, Petronas, Bank Negara forex, Skyhawk, Maika Holdings dan skandal Zon Bebas Pelabuhan Klang, yang berlaku semasa pentadbiran 22 tahun Dr Mahathir.
Lim juga mengecam Hadi kerana mengulangi dakwaan yang entiti asing tidak seharusnya menyiasat mengenai 1MDB, sebagaimana dibayangkan Najib.
"Kenapa Hadi bersikap tidak adil dalam mentafsir soal 'campur tangan asing' – ia salah jika dari negara Barat tetapi boleh diterima jika dari Arab Saudi?"
Hadi mengatakan siasatan ke atas 1MDB perlu dikendalikan pihak dalam negara memandangkan kuasa asing tidak boleh dipercayai.