Kata Mustapa, pengumuman Dr Mahathir yang beliau enggan lagi kembali kepada Umno walaupun Datuk Seri Najib Razak tidak lagi menjadi perdana menteri bukan sesuatu yang memeranjatkan.
Anggota Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata pengumuman bekas perdana menteri itu sebenarnya boleh dijangka selepas bertindak bertalu-talu “menyerang” kerajaan dan Najib.
“Perkara ini tidak memeranjatkan pun dan apa yang penting, dalam apa jua keadaan, anggota Umno perlu merapatkan barisan dan bersatu hati.
“Hari ini sudah ada tanda-tanda kebangkitan yang sangat baik terhadap Umno dan kepimpinan Datuk Seri Najib. Insya-Allah kita yakin Umno dan Barisan Nasional (BN) akan mencapai kejayaan yang cemerlang (pada pilihan raya umum ini),” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Perwakilan Pemuda Umno Bahagian Baling di sini, hari ini.
Dr Mahathir mengisytiharkan beliau tidak akan kembali kepada Umno walaupun Najib bukan lagi menjadi perdana menteri.
Dr Mahathir membuat pengakuan itu dalam sebuah klip video yang dimuat naik di laman Facebook PPBM dengan mendakwa Umno sebenarnya telah musnah dan tersesat daripada perjuangan asalnya.
Mengulas perkara itu, Mustapa yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, berkata walaupun Umno diuji dan diasak, apa yang penting semua pihak dalam parti keramat itu telah bersiap sedia pada PRU itu.
“Kita menunggu wisel ditiupkan sahaja untuk terus bertindak,” katanya.