Anthony Loke mendakwa Azalina cuba merahsiakan sebarang maklumat dan kos perbelanjaan yang dikeluarkan kerajaan kepada Najib dan isterinya.
Katanya, menteri bertanggungjawab menjaga Parlimen, Datuk Seri Azalina Othman dilihat cuba merahsiakan sebarang maklumat dan kos perbelanjaan yang dikeluarkan kerajaan kepada Datuk Seri Najib Razak dan Datin Seri Rosmah Mansor.
“Nampak trend baru di Parlimen, apa-apa soalan mengenai perdana menteri sama ada kos jet peribadi, atau kos Rosmah ke London atau kos penganjuran rumah terbuka, semuanya tak boleh dipersoalkan,” katanya dalam sidang media di Dewan Rakyat, hari ini.
Sebelum ini, pembangkang mengecam tindakan Azalina menolak soalan mengenai kos rombongan Rosmah ke London.
Anthony berkata, ini terbukti apabila soalan mengenai kos terperinci penganjuran rumah terbuka Aidilfitri di Sri Perdana yang beliau ajukan tidak dijawab.
Bahkan, soalan berkenaan kompaun dikenakan Bank Negara Malaysia (BNM) kepada 1MDB atas kegagalan Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 juga turut tidak dijawab.
Jelasnya, soalan sama mengenai kos penganjuran rumah terbuka pernah diajukan kepada menteri yang menjaga Parlimen sebelum ini dan ia dijawab Datuk Seri Shahidan Kassim pada 2013.
“Beberapa tahun lepas saya pernah bertanya soalan yang sama berkenaan kos rumah terbuka dan dijawab oleh Shahidan pada 2013 yang ia bernilai RM2.88 juta.
“Kita hendak tahu sama ada selepas beberapa tahun kos ini meningkat dan adakah kosnya berpatutan. Saya tidak tahu sama ada Azalina faham soalan atau tidak,” katanya.
Sebelum ini, Ahli Parlimen pembangkang mengecam tindakan Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia yang didakwa menggugurkan soalan berkaitan 1MDB, selain menyifatkannya sebagai mencemarkan kemuliaan dewan itu sendiri.
Ketua Pembangkang, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menggesa Pandikar mengkaji semula peranannya selepas gagal menjalankan tanggungjawab dengan telus.
Wan Azizah seterusnya mempersoalkan mengapa 30 soalan pembangkang berkenaan isu itu ditolak, sedangkan isu besar berkenaan perlu dijawab sendiri oleh perdana menteri.