Adun Eddie Ng Tien Chee berkata kastam perlu hubungi pihak berkuasa tempatan untuk mendapatkan bukti tambahan jika ada keraguan.
Adun Balakong Eddie Ng Tien Chee, sebelum ini mendedahkan kastam berhutang RM36 juta dengan 12 PBT di Selangor dalam bentuk bayaran balik cukai, terkejut dengan kenyataan Ketua Pengarah Kastam T Subromaniam.
“Kenyataan itu bukan sahaja tak betul tetapi juga menghina semua penjawat awam PBT. Subromaniam harus memberikan alasan yang kuat kerana bagi saya tidak masuk akal.
“Saya hairan dengan kenyataan beliau. Mengapa pula PBT buat tuntutan palsu dengan membayar 6% cukai barangan dan perkhidmatan dan kemudian mohon bayaran balik? PBT tiada kerja lain?”
Eddie diminta mengulas kenyataan Subromaniam yang berkata kastam tidak membayar tuntutan berkenaan selepas mendapati 12 PBT berkenaan mengemukakan penyatan meragukan.
Beliau menggesa kastam menghubungi PBT secara bertulis meminta bukti tambahan jika ada keraguan.
“Kastam sepatutnya bertindak secara profesional dalam menangani bayaran balik GST.
“Mereka perlu memaklumkan PBT secara bertulis dan minta dokumen sokongan jika ada sebarang keraguan dan bukannya menahan bayaran itu.
“Ini menunjukkan mereka tidak serius memulangkan cukai boleh bayar balik kepada pelanggan mereka.”
Ng mendedahkan angka, berdasarkan kajian peribadi, yang menunjukkan jabatan itu berhutang hampir RM36 juta kepada PBT kerana ia belum membayar balik cukai yang dibayar sejak Jun 2016.
Angka tersebut diberikan oleh setiap PBT di Selangor.
Read More / Baca Lagi >>