Update TUNTUTAN KERTAS PUTIH SKANDAL 1MDB >> Berita Malay 18

Sidang media yang diadakan pada hari ini adalah untuk memberitahu percubaan dan usaha yang dilakukan untuk menggelapkan maklumat dan keterangan mengenai penyiasatan skandal 1MDB yang merupakan ibu segala skandal yang melibatkan penyelewengan dana awam dalam sejarah negara hingga ke hari ini kita tidak mendapat jawapan berkaitan penyelewengan dana itu yang dianggarkan berjumlah USD4.5 bilion (RM19.3 bilion). Saya telah menyediakan set soalan-soalan untuk ditanya pada setiap kali sidang mesyuarat dewan rakyat. Sebagai Ketua Pembangkang saya mendapat keistimewaan menurut tradisi dan amalan Parlimen Malaysia bagi meletakkan pertanyaan pertama saya antara yang teratas pada hari pertama sidang dewan. Ini menjadi amalan Parlimen sejak sekian lama. Pada 7 Julai 2017, saya telah mengangkat pertanyaan-pertanyaan Jawab Lisan dan Jawab Bertulis Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Parlimen Ketiga belas yang bermula pada hari ini sehingga 10 Ogos 2017.

Dari Buku Aturan Mesyuarat yang disediakan oleh Pejabat Setiausaha Dewan Rakyat, saya mendapati beberapa soalan saya telah digugurkan, dan secara khususnya soalan saya yang dijadualkan pada hari ini 24 Julai 2017 yang berbunyi;

“Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail [Permatang Pauh] minta Perdana Menteri menyatakan adakah kerajaan bersedia untuk membentangkan Kertas Putih bagi menjelaskan campur tangan asing berkaitan dengan penyiasatan skandal dana 1MDB” .

Skandal 1MDB terus mendapat perhatian antarabangsa sejak saman pemula difailkan oleh Jabatan Keadilan (DoJ) Amerika Syarikat pada 20 Julai 2016. Siasatan dan pendakwaan juga telah diadakan di Singapura dan Switzerland. Selain itu, DoJ pada 15 Jun 2017 telah memfailkan keterangan tambahan berkaitan penyelewengan dana 1MDB yang mendakwa antara lainnya diselewengkan untuk membeli:


a)      Rantai leher (hadiah kepada isteri MALAYSIAN OFFICIAL 1-MO1)
b)      Barang kemas Miranda Kerr (dihadiahkan oleh Low Taek Jho- Jho Low)
c)       Kapal mewah (dimiliki oleh Jho Low)

Amat jelek sekali apabila pembelian barang-barang kemas yang berharga jutaan ringgit itu melibatkan MO1. Susulan itu, kerajaan pimpinan Najib Razak bukan sahaja langsung tidak membuka penyiasatan baru terhadap skandal penyelewengan 1MDB malah percubaan demi percubaan dilakukan untuk menutup siasatan baru dan mempropagandakan kononnya wujud campur tangan asing terhadap penyiasatan yang padahal hingga kini tidak ada sebarang tangkapan, siasatan, pendakwaan apatah lagi hukuman terhadap mereka yang terlibat.

Malangnya kita masih tidak mendapatkan jawapan berkaitan penyelewengan dana 1MDB USD4.5 bilion. Dengan majoriti yang ada pada Barisan Nasional, Parlimen telah dinafikan daripada mendapat jawapan rasmi kerajaan. Terkini, pemikiran rakyat dikelirukan dengan tuduhan kononnya wujud campur tangan asing terhadap penyiasatan skandal 1MDB. Tuduhan  ini serius, apatah lagi ia bertujuan menutup dan melindungi skandal yang melibatkan YAB Perdana Menteri, isteri Perdana Menteri, anak tiri Perdana Menteri dan kroni Perdana Menteri dengan jumlah wang berbilion ringgit digelapkan dan diselewengkan dari 1MDB.
Read More / Baca Lagi >>

Subscribe to receive free email updates:

Related Posts :