BARISAN Nasional (BN) atau Umno bijak kerana berjaya membuatkan PAS meninggalkan pakatan pembangkang, kata Ketua Eksekutif Institute of Democracy and Economic Affairs (Ideas) Wan Saiful Wan Jan hari ini.
Ketiadaan PAS dalam Pakatan Harapan (PH) menyebabkan langkah PH untuk menawan Putrajaya menjadi lebih berliku.
“Pertandingan satu lawan satu memang penting tetapi dengan menyingkir PAS daripada PH akan menghasilkan pertandingan tiga penjuru,” tambahnya.
Wan Saiful berkata, strategi Umno itu sangat bijak kerana ia juga tidak perlu membawa PAS masuk ke dalam BN.
“Bagi mereka apa yang perlu ialah PAS tidak bersama PH. Walaupun PAS berulang kali menafikan ia bekerjasama atau menyertai BN atau Umno, tuduhan-tuduhan itu nyata bertujuan untuk memisahkan PAS dan PH,” katanya.
PAS akan menjadi perosak pada pilihan raya umum akan datang dan Umno lebih memahami PAS berbanding PH dan sedang memberi galakan kepada parti itu,” tambah Wan Saiful.
Ketika ditanya oleh moderator Nazri Kahar dari Astro Awani sama ada PAS akan berubah, Wan Saiful berkata beliau belum nampak lagi hal itu akan berlaku.
“Mungkin jika orang-orang PAS yang rasional dalam politik bangkitkan isu ini, mereka akan memilih untuk menyebelahi siapa. Tapi itu saya belum nampak lagi.”
Wan Saiful yang menyertai PAS pada 1997 berkata PAS perlu difahami untuk mengetahui motivasi mereka.
“Saya dibawa masuk ke dalam PAS ketika di Tingkatan 4 kerana itu ia satu-satunya parti politik yang menjadikan Islam sebagai ideologi. Dan bagi mereka politik hanyalah kenderaan bagi Islam.
“Matlamat PAS bukan sekadar memenangi pilihan raya atau kerusi. Agenda mereka adalah untuk membawa mesej Islam, seperti mana yang mereka terjemahkan.
“Usaha untuk menjadikan PAS sebuah parti yang progresif akan gagal kerana mereka sangat konservatif,” kata Wan Saiful.
Katanya, PAS yang ada sekarang dibawa kembali ke akar umbi konservatif dan tidak kisah tentang menang atau kalah.
“PAS hanya akan berada di antara BN dan PH dan BN akan memenangi lebih banyak kerusi pada pilihan raya akan datang.