Update Video: Wanita Jadikan Anjing Sebagai Haiwan Peliharaan Digesa Segera Bertaubat Oleh Jakim. >> Berita Malay 18

SHAH ALAM - Perbuatan seorang wanita yang memuat naik di media sosial mengenai haiwan peliharaannya telah mendapat kecaman hebat daripada rata-rata netizen yang menganggap seperti tidak memperdulikan sensitiviti masyarakat yang beragama Islam

Malah mengikut laporan Sinar Harian, Jabatan Kemajuan Agama Islam Malaysia (Jakim) turut melahirkan kekesalan mereka berhubung tindakan seorang wanita Islam yang menjadikan anjing sebagai haiwan peliharaannya.

Dalam Islam juga ada menyatakan bahawa anjing merupakan salah satu haiwan yang tergolong dalam kategori najis jenis 'Mughallazah' iaitu najis jenis berat dan jika tersentuhnya wajib menyamak semula tempat yang terkena najis terbabit.

Namun begitu walaupun telah beberapa kali isu berkenaan di bangkitkan serta Jakim juga turut menerangkan hukum-hukum dengan sengaja memegang anjing tetapi seorang wanita telah memuat naik video mengenai anjing peliharaannya itu mengundang perbalahan dikalangan netizen.

Dalam video terbabit yang di muat naik oleh wanita itu sendiri berkisahkan mengenai dirinya serta anjing peliharaannya serta menganggap perbuatannya itu tidak salah.

Ketua Pengarahnya, Datuk Othman Mustapha berkata, tindakan itu telah menimbulkan keresahan di kalangan umat Islam kerana ia bercanggah dengan pegangan mazhab dan ‘uruf'/adat di Malaysia.

"Menurut Mazhab Syafie, umat Islam adalah dilarang menyentuh anjing secara sengaja kerana menajiskan diri tanpa tujuan yang munasabah adalah haram di sisi Islam," tegasnya dalam satu kenyataan media hari ini.

Terdahulu tersebar di media sosial tentang pengkisahan berkaitan anjing peliharaan wanita itu yang bernama Bubu.

Tegasnya, walaupun Islam meletakkan kaedah sertu apabila terkena najis yang dikategorikan sebagai ‘mughallazah’ namun kaedah tersebut bukanlah alasan untuk membolehkan seseorang itu memegang najis mughallazah secara sengaja.

"Tindakan tersebut samalah seperti orang yang sengaja melakukan dosa dengan alasan akan bertaubat kemudiannya," katanya.

Justeru, ujarnya Jakim berharap individu tersebut perlu segera memberhentikan perbuatan tersebut dan kembali bertaubat kepada ALLAH.

Katanya lagi, perbuatan sebegini dilihat seolah-olah beliau cuba mencipta budaya baharu yang boleh membawa kepada perbuatan menghina agama Islam.

Jelasnya, pada dasarnya Islam tidak memandang keji kepada binatang anjing sebagai salah satu makhluk ALLAH.

"Apatah lagi untuk menyeksa, memukul dan membunuh anjing tanpa sebab adalah sama sekali bertentangan dengan ajaran Islam.

"Walau bagaimanapun, dalam Mazhab Syafie, umat Islam tidak dibenarkan untuk menjadikan haiwan tersebut sebagai binatang peliharaan," katanya.

Malahan, tegasnya Islam mewajibkan semua umatnya untuk memelihara kesucian diri, pakaian dan tempat tinggal agar ia tidak menjejaskan amal ibadah seharian.

"Bagi mencari jalan penyelesaian terhadap isu ini secara berhikmah demi kebaikan bersama, individu tersebut dinasihatkan agar dapat merujuk kepada pihak Jakim berkaitan hukum memelihara anjing," katanya. - Sinar Harian Klik link untuk lihat video.

Subscribe to receive free email updates: