Ahli Parlimen Setiu berkata suami sering mengalami penderaan psikologi dan emosi disebabkan isteri.
KUALA LUMPUR: Seorang wakil rakyat Umno mencetuskan kontroversi hari ini apabila berkata wanita yang menolak hubungan seks menyebabkan suami mereka mengalami “penderaan psikologi dan emosi”.
Ahli Parlimen Setiu Che Mohamad Zulkifly Jusoh semasa perbahasan di Parlimen mengenai keganasan rumah tangga berkata suami sering mengalami serangan emosi berbanding penderaan fizikal.
“Walaupun fizikal lelaki dikatakan lebih kuat daripada wanita, ada kes di mana isteri mencederakan atau mendera suami mereka secara melampau,” katanya.
“Biasanya, ia melibatkan isteri mengutuk suami mereka – itu penderaan emosi. Mereka menghina suami mereka dan menolak keperluan seksualnya.
“Semua ini penderaan psikologi dan emosi.”
Datin Marina Mahathir, seorang aktivis hak wanita terkemuka berkata pandangan ahli Parlimen itu “berdasarkan kejahilan”.
“Wanita berhak untuk mengatakan tidak kepada seks – ini tanggapan orang lama apabila anda berkahwin dengan seseorang wanita, anda miliki tubuh badannya,” katanya kepada AFP.
“Ia tidak berfungsi seperti itu. Adalah tidak masuk akal untuk mengatakan lelaki didera jika wanita tidak mahu mengadakan hubungan seks.”
Ahli Parlimen berusia 58 tahun dari Terengganu itu juga berkata menafikan hak lelaki Islam untuk berkahwin dengan isteri ke-2 juga dikira penderaan.
Read More / Baca Lagi >>