Bekas naib ketua Umno itu berkata pengumuman peruntukan besar semalam menunjukkan kebimbangan BN terhadap kerusi Felda.
“Rakyat jangan biarkan diri mereka diperbodohkan oleh parti Najib seperti mana mereka memperbodohkan (Datuk Seri Abdul) Hadi Awang,” katanya merujuk presiden PAS.
“Kami yang berdarah Umno ‘pekat’ pun merasa jijik dengan parti itu tetapi puak-puak PAS ini sibuk membela parti Najib,” kata bekas naib ketua Umno Batu Kawan itu.
Semalam, Najib mengumumkan 6 insentif untuk warga Felda, termasuk melupuskan hutang peneroka dalam pembelian saham FGV yang kini berdepan kemerosotan nilai dan bantuan perumahan.
Najib turut mengumumkan wang RM5,000 akan diedarkan kepada kira-kira 95,000 keluarga peneroka bermula bulan depan.
Khairuddin menyifatkan langkah itu menunjukkan kebimbangan Umno terhadap nasib kerusi di kawasan Felda
“Umno dan Barisan Nasional sanggup melakukan apa saja untuk ‘gula-gula’ warga Felda dari saat ini sehinggalah ke hari mengundi pada pililhan raya umum nanti,” katanya alam kenyataan kepada FMT.
Khairuddin berkata Najib lebih mementingkan pendekatan politik kerana mahu mempertahankan kerusi yang mempunyai bilangan pengundi warga Felda yang ramai.
“Kalau Najib ikhlas bantu penderitaan rakyat beliau harus memberi peruntukan RM5,000 kepada keseluruhan masyarakat Malaysia yang sedang mengalami penderitaan kos sara hidup yang amat tinggi kini. Bukan hanya pada warga Felda!”
Sejumlah 60 kerusi Parlimen terletak di kawasan Felda, di mana 54 daripadanya dimenangi BN pada PRU 2013.