Salleh Keruak menggariskan 5 faktor yang menyumbang kepada perubahan trend pengundi muda yang semakin menyebelahi BN.
KUALA LUMPUR: Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak menggariskan 5 faktor yang menyumbang kepada perubahan trend sokongan pengundi muda yang dilihati semakin menyebelahi Barisan Nasional (BN).
Salleh berkata faktor pertama adalah anak muda kini semakin yakin dengan pemerintahan BN kerana pemimpinnya bersatu melaksanakan projek kesejahteraan rakyat, merancang masa depan negara, mampu menjamin kestabilan serta keselamatan negara.
Faktor ke-2 katanya adalah pakatan pembangkang selalu berpecah dan bekerjasama semata-mata kerana mahukan kuasa.
“Ke-3, anak muda bosan dengan isu yang dibangkitkan pihak lawan kerana ia tidak relevan berbanding isu yang dibawa BN. Isu BN mengenai kesejahteraan rakyat, pembangunan dan keselamatan negara.
“Ke-4, anak muda tidak boleh menerima politik ‘cauvinis’ yang merenggangkan keharmonian hubungan kaum berbanding dengan BN yang berusaha kuat untuk membentuk bangsa Malaysia yang bersatu,” katanya dalam catatan blognya hari ini.
Salleh berkata faktor ke-5 adalah anak muda tidak lagi berpegang kepada janji politik yang selalu ditaburkan pembangkang, sebaliknya menilai bagaimana parti berkenaan menangani pelbagai isu.
“Lima faktor itu mendorong pengundi muda bersama BN. Mereka yakin masa depan negara lebih terjamin jika BN terus memerintah Malaysia,” katanya.
Menurut Salleh, pada pilihan raya umum 2013 (PRU13), 41.98% pengundi yang berumur antara 21 dan 40 tahun agak kritikal terhadap kerajaan BN.
Read More / Baca Lagi >>