Sejak buku G25, bertajuk “Breaking the Silence: Voices of Moderation – Islam in a Constitutional Democracy”, diwartakan pengharamannya melalui “Perintah Mesin Cetak dan Penerbitan (Kawalan Hasil Penerbitan Tidak Diingini) (No. 12) 2017” pada 27 Julai, selama tiga hari berturut-turut pemimpin DAP mengeluarkan kenyataan bagi membela buku ini.
Paling awal membuat kenyataan mengecam pengharaman buku G25 ini ialah Penasihat DAP, Lim Kit Siang, pada 28 Julai, diikuti oleh Timbalan Setiausaha Agung DAP merangkap Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, Dr P Ramasamy, pada 29 Julai, serta Setiausaha Agung DAP merangkap Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng, pada 30 Julai.
Menyifatkan pengharaman buku G25 ini sebagai sangat luar biasa dan sukar dipercayai (so extraordinary and unbelieveable), Lim Kit Siang menggesa mesyuarat Kabinet hari itu menggantung pengharaman buku ini kerana ia kononnya adalah penentu sama ada Malaysia kekal sebagai sebuah negara sederhana atau mengizinkan kuasa-kuasa ekstremisme dan sikap tidak bertoleransi merampas pembinaan-bangsa di Malaysia.
Dr P Ramasamy pula mulanya berkata beliau bingung (baffled) dengan pengharaman buku G25 ini sedangkan ada begitu banyak isu lain, tetapi kemudiannya menyifatkan pengharaman buku ini sebagai lebih bertujuan politik untuk menenangkan kuasa-kuasa konservatif Islam, terutamanya mereka dalam PAS, dengan menunjukkan kepada mereka bahawa kerajaan, melalui pengharaman buku ini, adalah serius mengenai Islam.
Lim Guan Eng pula mengumumkan persetujuan DAP bahawa pengharaman buku G25 ini adalah “tidak logik” dan “tidak masuk akal sama sekali” (“illogical” and “utterly ridiculous”) serta mendakwa kegagalan kerajaan menjelaskan bagaimana buku ini memudaratkan ketenteraman awam menimbulkan syak bahawa ia adalah satu penyalahgunaan kuasa untuk mengirimkan satu mesej menakutkan dan mencari modal politik menjelang pilihan raya umum.
Selaku seorang individu yang telah menghadiri pelancaran buku G25 ini, yang disertai dengan satu forum yang turut menyaksikan Pengarah Strategi AMANAH, Dr Dzulkelfy Ahmad, sebagai salah seorang pembentang kertas kerja di dalamnya, dan selaku antara pembeli pertama buku ini, saya terfikir sebab mengapa DAP begitu kuat sekali membela buku ini.
Tiba-tiba sahaja saya teringat kepada kenyataan beberapa pemimpin DAP seperti Datuk Ngeh Koo Ham yang mahu supaya supaya umat Islam diberikan kebebasan untuk keluar dari Islam (murtad) dan, kebetulannya, buku G25 ini juga mengandungi tulisan yang memperjuangkan hak untuk umat Islam murtad daripada beberapa penyumbangnya.
Hak untuk umat Islam murtad ini diperkatakan oleh Aston Paiva dalam bab kedua buku ini, bertajuk “The Islamisation of Popular Legal Consciousness in Malaysia”, Dr Azmi Sharom dalam bab ketujuh, bertajuk “Fundamental Liberties in The Federal Constitution”, dan Farouk A Peru dalam bab ketiga belas, bertajuk “Understanding Religious Pluralism”.
Apakah mungkin DAP begitu kuat sekali membela buku ini kerana buku ini turut memperjuangkan hak untuk umat Islam murtad sama seperti yang diperjuangkan oleh DAP?
Apa agaknya komen bekas Peguam PAS, Mohamed Hanipa Maidin, yang baru sahaja menulis di dalam Facebook beliau begini: “Jika orang tanya saya, siapakah calon impian saya bagi PM Malaysia? Saya akan jawab YB Lim Kit Siang”?
Dr Kamarul Zaman Yusoff,
Pengarah Institut Kajian Politik Malaysia (MAPAN),
Universiti Utara Malaysia (UUM).